MONACO: Jaguh lompat bergalah dunia, Armand Duplantis meletakkan sasaran besar untuk memecahkan rekod dunia buat kali ke-16 apabila beraksi pada Kejohanan Olahraga Liga Berlian Monaco, awal pagi Sabtu ini.
Pemegang rekod dunia dari Sweden itu mengakui Stadium Louis II kini dianggap seperti gelanggang sendiri selepas berpindah menetap di Monaco, sekali gus mahu menghadiahkan aksi bersejarah kepada penyokong tempatan.
“Sekarang saya tinggal dan berlatih di sini, jadi ini adalah stadium sendiri buat saya dan saya rasa rekod dunia perlu dicipta di sini. Sangat istimewa jika saya dapat melakukannya di Monaco.
“Itulah sasaran yang bermain di fikiran saya ketika ini,” kata Duplantis.
Pemenang dua pingat emas Olimpik dan tiga gelaran dunia itu kini memegang rekod dunia 6.31 meter (m) yang dilakukan di Sweden, Mac lalu selepas memecahkan rekod buat kali pertama dengan lompatan 6.17m pada 2020.
Turut mencuri perhatian ialah acara balapan 200 meter (m) wanita yang menemukan juara Olimpik 100m, Julien Alfred dari Saint Lucia dengan juara Olimpik 200m, Gabrielle Thomas dari Amerika Syarikat serta pendahulu dunia musim ini, Adaejah Hodge.
Saingan 100m lelaki pula dijangka sengit apabila juara dunia Jamaica, Oblique Seville yang muncul pendahulu dunia dengan catatan 9.82 saat bakal dicabar Letsile Tebogo, Jordan Anthony serta juara Olimpik Tokyo 2020, Marcell Jacobs.
Acara 1,000m lelaki tidak kurang menarik apabila juara Olimpik 800m dari Kenya, Emmanuel Wanyonyi bakal berentap dengan Djamel Sedjati, Mohamed Attaoui, Jake Wightman dan Ben Pattison, manakala legenda Kenya, Faith Kipyegon mengetuai barisan bintang dalam perlumbaan 3,000m wanita yang turut disertai juara Olimpik triatlon, Cassandre Beaugrand. – AGENSI










