LONDON: Novak Djokovic memberi amaran awal kepada pencabar-pencabarnya apabila mempamerkan aksi sempurna untuk melangkah ke pusingan ketiga Wimbledon, manakala juara bertahan, Jannik Sinner turut meneruskan kemaraan dalam saingan yang berlangsung di All England Club, awal pagi tadi.
Djokovic yang memburu sejarah sebagai pemain pertama memenangi 25 gelaran Grand Slam perseorangan, tampil cukup dominan ketika menewaskan pemain Greece, Stefanos Tsitsipas, 6-3, 6-4, 6-2 dalam tempoh 98 minit.
Juara Wimbledon tujuh kali itu mempamerkan prestasi hampir sempurna apabila menghasilkan 33 pukulan kemenangan sambil melakukan hanya tujuh kesilapan tidak paksa, sekali gus membuktikan dirinya masih antara pencabar utama kejuaraan walaupun kini berusia 39 tahun.
Kemenangan itu juga dilihat sebagai kebangkitan Djokovic selepas berdepan permulaan sukar pada pusingan pertama ketika menentang Wu Yibing.
Pemain Serbia itu turut membawa reputasi kurang meyakinkan ke Wimbledon selepas tersingkir seawal pusingan ketiga Terbuka Perancis apabila mensia-siakan kelebihan dua set ketika menentang Joao Fonseca.
Namun, pengalaman dan kualiti yang dimiliki Djokovic sekali lagi terserlah apabila beliau menewaskan Tsitsipas buat kali ke-12 berturut-turut dalam pertemuan antara mereka.
Kejayaan tersebut turut menyaksikan Djokovic mencatat kemenangan ke-104 di Wimbledon, hanya satu kemenangan di belakang rekod era Terbuka milik legenda Switzerland, Roger Federer.
Menanti Djokovic di pusingan ketiga ialah pilihan ke-25 dari Perancis, Arthur Rinderknech.
“Saya berasa sangat baik. Saya suka istilah ‘vintage’ kerana ia mengingatkan saya kepada hari-hari terbaik dalam karier.
“Apabila bermain seperti ini, anda berasa puas dan gembira berada di gelanggang,” kata Djokovic.
Sementara itu, pemain No.1 dunia, Jannik Sinner turut mara ke pusingan ketiga, namun terpaksa bekerja lebih keras sebelum menewaskan pemain Portugal, Nuno Borges 7-6 (7/4), 7-6 (7/2), 6-4.
Pemain Itali berusia 24 tahun itu, masih belum mempamerkan aksi terbaiknya selepas turut bergelut pada pusingan pertama sebelum bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan pemain Serbia, Miomir Kecmanovic.
Juara empat Grand Slam itu, yang menamatkan penguasaan dua tahun Carlos Alcaraz di Wimbledon menerusi kemenangan dalam final tahun lalu, mengakui masih terdapat beberapa aspek permainannya yang perlu diperbaiki.
“Masih ada beberapa perkara yang perlu saya tingkatkan. Ada ketika saya merasakan rentak permainan saya belum berada pada tahap yang diinginkan,” ujarnya.-AFP










