Lima Grand Slam belum cukup buat Sinner

Lima Grand Slam belum cukup buat Sinner

Jannik Sinner mencium trofi selepas menjuarai Kejohanan Wimbledon selepas menewaskan Alexander Zverev dalam perlawanan akhir di London, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Lima gelaran Grand Slam masih belum cukup untuk membuatkan Jannik Sinner menganggap kemenangan di pentas terbesar tenis dunia sebagai sesuatu yang biasa apabila juara Wimbledon itu menegaskan setiap trofi tetap hadir melalui detik yang terlalu sukar untuk dikecapi sepanjang karier seseorang pemain.

Pemain No.1 dunia itu mempertahankan kejuaraan Wimbledon semalam selepas menewaskan Alexander Zverev 6-7 (7/9), 7-6 (7/2), 6-3, 6-4 dalam aksi final yang berlangsung di All England Club, sekali gus menghadiahkan gelaran Grand Slam kelima buat dirinya.

Sinner berkata, kejayaan di pentas Grand Slam terlalu bernilai kerana peluang untuk beraksi dalam perlawanan akhir bukan sesuatu yang hadir setiap tahun.

“Bagi saya, tidak memenangi Grand Slam bukan bermaksud anda gagal. Hari seperti ini sangat, sangat jarang berlaku dan sekarang saya hanya mempunyai lima hari seperti ini sepanjang hidup saya.

“Kita bercakap mengenai lima Grand Slam, tetapi hakikatnya ia cuma lima hari daripada begitu banyak hari lain. Sebab itu saya mahu menikmatinya kerana jika saya tewas sekalipun, beraksi di final Grand Slam sudah cukup istimewa dan saya tidak pernah mengambilnya sebagai sesuatu yang pasti,” katanya.

Pemain berusia 24 tahun itu mengakui prestasinya meningkat sedikit demi sedikit sepanjang kejohanan selepas melalui permulaan yang sukar sebelum berjaya menampilkan aksi terbaik pada penghujung saingan.

“Saya semakin baik dari satu perlawanan ke satu perlawanan. Jika dibandingkan aksi dalam dua atau tiga perlawanan pertama dengan final, prestasi saya sentiasa meningkat dan itulah yang saya perlukan,” katanya.

Jurulatihnya, Darren Cahill percaya anak buahnya masih mempunyai ruang besar untuk menambah koleksi gelaran Grand Slam berdasarkan perkembangan konsisten yang dipamerkan sejak dua musim lalu.

“Saya percaya dia akan mempunyai karier yang panjang dan cukup cemerlang. Dia akan terus meletakkan dirinya dalam kedudukan terbaik untuk memenangi lebih banyak Grand Slam dan gelaran ini terasa cukup istimewa,” katanya. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN