TAIPEI: China dan Taiwan bersiap sedia menghadapi kemungkinan ribut tropika paling dahsyat dalam beberapa tahun apabila Taufan Bavi bergerak di tenggara Taiwan hari ini, dengan kelajuan angin hampir 200 kilometer sejam (km/j), ketika beberapa kawasan di China masih terjejas akibat Taufan Maysak.
Pihak berkuasa Taiwan menggesa penduduk membuat persediaan dengan menyimpan bekalan keperluan dan berwaspada menghadapi taufan yang berpotensi menjadi paling kuat melanda pulau itu sejak Taufan Kong-rey pada 2024 yang mengorbankan tiga nyawa.
Menurut Pusat Meteorologi Kebangsaan China, Bavi yang kini berdiameter 1,000 km atau kira-kira lebar Perancis, dijangka bergerak melepasi utara Taiwan sebelum melanda wilayah Fujian di timur China pada petang Sabtu.
“Ribut sebesar ini agak jarang berlaku sejak beberapa tahun kebelakangan ini,” kata peramal cuaca Pentadbiran Cuaca Pusat Taiwan, Jason Chang, kepada Reuters.
Beliau berkata, Bavi dijangka menjadi ribut terbesar dari segi saiz yang melanda Taiwan sejak 1987.
Sementara itu, pasukan penyelamat di China masih menjalankan operasi mencari mangsa di kawasan runtuhan akibat Taufan Maysak yang mengorbankan sekurang-kurangnya 39 orang selepas melanda wilayah barat daya Guangxi awal minggu ini.
Pegawai tempatan dalam sidang media pada Khamis berkata, sembilan lagi mangsa masih hilang di seluruh wilayah berkenaan.
China, ekonomi kedua terbesar dunia, bersama negara jiran Jepun dan Taiwan, semakin terdedah kepada kejadian cuaca ekstrem yang dikaitkan saintis dengan perubahan iklim.
Tahun ini menjadi perhatian khusus berikutan jangkaan kemunculan fenomena El Niño yang boleh meningkatkan suhu global serta menyumbang kepada kejadian taufan yang lebih kerap dan lebih kuat.
“Sebahagian penurunan kekuatan angin dijangka berlaku mulai Khamis, namun Bavi akan kekal sebagai ribut berbahaya ketika melanda Taiwan dan timur China dari lewat Jumaat hingga Isnin,” kata pakar AccuWeather, Jason Nicholls.- AGENSI










