BEIJING: China melancarkan rondaan baharu di timur Taiwan semalam, selepas operasi pengawal pantai terdahulu di perairan berhampiran pulau itu mencetuskan bantahan Taipei dan kebimbangan beberapa negara Barat.
Tentera China beroperasi hampir setiap hari di sekitar Taiwan, yang dianggap Beijing sebagai sebahagian daripada wilayahnya.
Namun, China mula menggunakan pengawal pantai untuk menguatkuasakan tuntutan wilayahnya menerusi pendekatan yang disifatkan Taiwan sebagai ‘undang-undang’, untuk mengukuhkan asas terhadap tindakan Beijing.
Pengawal Pantai China dalam satu kenyataan berkata, armada itu akan menjalankan rondaan penguatkuasaan undang-undang di kawasan berkenaan.
Menurut kenyataan itu, China akan memperkukuh rondaan sedemikian di perairan yang disifatkan sebagai berada di bawah bidang kuasanya.
Pengawal Pantai China turut menegaskan pihaknya akan mempertahankan kedaulatan wilayah serta hak dan kepentingan maritim negara itu.
Sementara itu, Pengawal Pantai Taiwan berkata, pihaknya sedang menjejaki dua kapal pasukan China dan mengerahkan dua kapalnya sendiri untuk belayar dan memantau pergerakan berkenaan.
Kenyataan itu berkata, kedua-dua kapal China dilaporkan berada kira-kira 54 batu nautika di timur Hualien, lokasi pangkalan udara utama Taiwan, namun masih berada di luar perairan terhad.
Pengawal Pantai Taiwan menegaskan pihaknya akan terus mengambil semua langkah perlu untuk mengusir kapal China yang menceroboh perairan, mempertahankan kedaulatan negara serta memastikan keselamatan kawasan maritim.
Ini merupakan kali kedua dalam tempoh kira-kira sebulan China menghantar kapal Pengawal Pantai ke perairan di pantai timur pulau itu.
Tindakan tersebut berisiko meningkatkan lagi pertikaian diplomatik yang turut membabitkan Amerika Syarikat (AS), Perancis, Jerman dan Britain.- AGENSI










