WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) menuntut Iran secara terbuka menyatakan akan berhenti menyerang kapal di Selat Hormuz dan menjamin semua laluan di perairan berkenaan dibuka kepada pelayaran tanpa sebarang bayaran tol.
Pegawai kanan AS berkata, rundingan antara Washington dan Teheran sejak beberapa hari kebelakangan ini menunjukkan perkembangan positif.
Mereka membuat kenyataan tersebut kepada kumpulan kecil wartawan menerusi satu sidang panggilan.
“Kami menuntut Iran mengeluarkan kenyataan terbuka yang mengesahkan semua laluan di Selat Hormuz dibuka dan mereka tidak lagi melepaskan tembakan ke arah kapal.
“Sama ada mereka mengeluarkan kenyataan itu atau mereka akan berdepan akibat yang tidak memihak kepada mereka,” kata seorang daripada pegawai berkenaan.
Seorang pegawai kanan AS berkata, Iran memaklumkan kepada Washington serangan terhadap kapal di Selat Hormuz sejak kebelakangan ini dilakukan oleh ‘pihak tertentu yang bertindak di luar kawalan’ dalam sistem negara itu.
Menurut pegawai berkenaan, keadaan itu menunjukkan wujud perebutan pengaruh antara kumpulan garis keras dan golongan pragmatik dalam kepimpinan Iran.
Minggu ini, tiga kapal dilaporkan diserang, sekali gus mendorong Presiden AS, Donald Trump, melancarkan serangan ke atas sasaran Iran.
Trump turut mengisytiharkan perjanjian gencatan senjata yang dimeterai antara kedua-dua pihak pada Jun lalu tidak lagi berkuat kuasa.- AGENSI









