AS kembali serang Iran

AS kembali serang Iran

KOR Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) menyasarkan kedudukan tentera AS di Teluk sebagai tindak balas serangan Washington ke atas negara itu.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan ketenteraan terhadap Iran kelmarin selepas tiga kapal komersial diserang di Selat Hormuz.

Tindakan itu meningkatkan lagi ketegangan dalam konflik yang menjejaskan usaha untuk menamatkan perang di Asia Barat.

Dalam satu kenyataan, Komando Pusat AS (CENTCOM) memaklumkan serangan tersebut dilaksanakan sebagai tindak balas terhadap tindakan Iran yang didakwa menyerang kapal komersial yang melalui laluan perkapalan strategik itu.

Menurut CENTCOM, operasi tersebut bertujuan mengenakan ‘kos yang tinggi’ terhadap pihak yang menyasarkan serta menyerang kapal dagang.

Sementara itu, media kerajaan Iran melaporkan enam letupan kedengaran di Pulau Qeshm, diikuti tujuh lagi di bandar Sirik. Beberapa letupan turut dilaporkan berlaku di Bandar Abbas, pelabuhan utama negara itu.

Seorang pegawai AS yang dipetik Reuters berkata, serangan tersebut menyasarkan sistem pertahanan udara Iran, sistem pengawasan pantai, peluru berpandu permukaan ke udara, peluru berpandu jelajah antikapal dan tapak pelancaran dron.

Serangan itu dilancarkan tidak lama selepas Washington menarik balik pengecualian sementara sekatan terhadap eksport minyak Iran, sekali gus meningkatkan tekanan ke atas Teheran ketika negara tersebut sedang berunding dengan AS bagi mencapai penyelesaian konflik.

Jabatan Perbendaharaan AS membatalkan lesen diumumkan Jun lalu, yang sebelum ini membenarkan Iran mengeluarkan, menjual dan menghantar minyak mentah serta produk berkaitan sehingga 21 Ogos.

“Tindakan Iran di Selat Hormuz sama sekali tidak dapat diterima oleh Amerika dan akan menerima tindak balas yang setimpal,” kata seorang pegawai AS kepada AFP.

Pegawai yang enggan dikenali itu berkata, memorandum persefahaman antara AS dan Iran adalah berasaskan prestasi sepenuhnya, sambil memberi amaran Teheran hanya akan menikmati manfaat jika menunjukkan tingkah laku yang baik.

Bagaimanapun, beliau berkata, perunding AS masih meneruskan rundingan dengan niat baik ke arah memuktamadkan satu perjanjian.

Sementara itu, Kementerian Luar Iran menuduh AS berulang kali melanggar memorandum persefahaman yang dipersetujui kedua-dua negara, selain memberi amaran akan mengambil tindakan balas.

“Iran memberi amaran keras mengenai akibat daripada pelanggaran perjanjian oleh AS dan akan mengambil tindakan tegas bagi melindungi kepentingan serta keselamatan negaranya,” menurut kenyataan Kementerian Luar Iran yang disiarkan di saluran Telegram IRIB News.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN