PETALING JAYA: Bintang muda olahraga negara, Mohamad Armin Zahryl Abd. Latif terus mencipta sensasi apabila sekali lagi memecahkan rekod kebangsaan acara 110 meter (m) lari berpagar, kali ini dengan catatan 13.58 saat (s) pada final Kejohanan Olahraga Bawah 23 Tahun Asia 2026 di Ordos, China, hari ini.
Catatan itu menyaksikan Armin memperbaharui rekod 13.63s yang diciptanya kurang 24 jam sebelum itu dalam aksi saringan, sekali gus membuktikan dirinya semakin hampir menyamai kelompok elit Asia dalam acara berkenaan.
Bagaimanapun, catatan cemerlang tersebut belum cukup untuk menghadiahkannya pingat apabila atlet berusia 21 tahun itu menamatkan perlumbaan di tempat keempat.
Semalam, Armin mencuri perhatian apabila memadam rekod kebangsaan 13.67s milik Rayzam Shah Wan Sofian yang bertahan sejak 2017 selepas menamatkan saingan saringan dengan catatan 13.63s untuk mengesahkan tempat ke final.
Lebih mengagumkan, Armin tidak menunggu lama untuk memperbaiki rekod tersebut apabila sekali lagi mencatat sejarah dengan masa 13.58s dalam perlumbaan penentuan pingat.
Pencapaian itu turut melonjakkan kedudukannya dalam senarai pelari terpantas Asia Tenggara sepanjang zaman, selain mengesahkan statusnya sebagai pelari 110m berpagar terbaik negara ketika ini.
Seorang lagi wakil negara, Elvin Yap Zhi Xuan yang turut mencipta rekod peribadi 13.72s pada saringan semalam, menamatkan saingan final di tempat keenam dengan catatan 13.85s. – UTUSAN










