PUTRAJAYA: Seramai 12,974 calon menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di 188 pusat peperiksaan membabitkan tiga mata pelajaran iaitu Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik.
Kementerian Pendidikan (KPM) berkata, bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan itu, seramai 1,530 petugas peperiksaan dilantik bagi mengendalikan Ujian Bertulis dan Ujian Mendengar Bahasa Melayu.
Katanya, manakala seramai 1,366 lagi petugas ditugaskan untuk Ujian Bertutur Bahasa Melayu.
“KPM mengingatkan semua calon peperiksaan SPMU Tahun 2026 untuk merujuk jadual waktu peperiksaan bagi mendapatkan maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung.
“Jadual waktu peperiksaan SPMU Tahun 2026 boleh dimuat turun dari portal rasmi Lembaga Peperiksaan melalui pautan lp.moe.gov.my,” katanya dalam kenyataan hari ini.
KPM berkata, calon turut diingatkan supaya membawa dokumen pengenalan diri dan Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan ke pusat peperiksaan.
“Pernyataan Pendaftaran Peperiksaan boleh dimuat turun dari Sistem Pengurusan Peperiksaan Atas Talian melalui pautan sppat.moe.gov.my.
“Calon juga hendaklah mematuhi prosedur operasi standard dan peraturan yang telah ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan SPMU Tahun 2026,” katanya. – UTUSAN










