MADRID: Beberapa mangsa kebakaran hutan terburuk di selatan Sepanyol maut dalam kenderaan mereka selepas laluan alternatif yang digunakan untuk melarikan diri bertukar menjadi ‘perangkap maut’ apabila api merebak dengan pantas.
Kebakaran yang bermula pada Khamis di kawasan berbukit dengan gaung curam itu memusnahkan hutan serta semak samun di sekitar Los Gallardos, Andalusia.
Pasukan bomba berusaha mengawal kebakaran hutan paling dahsyat di Sepanyol, dengan jumlah korban meningkat kepada 12 orang, manakala 23 lagi dilaporkan hilang.
Pihak berkuasa mengarahkan sebahagian penduduk di kawasan pergunungan berhampiran Los Gallardos supaya berpindah menggunakan laluan yang disarankan, manakala penduduk di perkampungan Bedar diarahkan untuk kekal berlindung di kediaman masing-masing.
Namun, keadaan api yang semakin marak dan merebak dengan pantas menyebabkan kebanyakan penduduk mulai panik serta memilih untuk terus berlindung di rumah.
Ketua Jabatan Kecemasan wilayah Andalusia, Antonio Sanz, berkata penduduk Bedar diarahkan sama ada menggunakan laluan pemindahan yang dicadangkan atau kekal di kediaman mereka memandangkan kebakaran berlaku terlalu hampir dengan kawasan itu.
“Dalam keadaan seperti ini, penting untuk semua mengikuti laluan yang ditetapkan. Malangnya, dalam kejadian ini, ada yang memutuskan untuk menggunakan laluan lain yang bukan laluan pemindahan dicadangkan.
“Usaha mencari jalan keluar melalui dasar sungai yang kering akhirnya menjadi perangkap,” katanya.
Sanz berkata, empat mangsa yang dipercayai warga Britain ditemukan maut dalam sebuah kenderaan, manakala tujuh lagi meninggal dunia selepas dipercayai meninggalkan kereta masing-masing untuk melarikan diri dengan berjalan kaki.
Katanya, 10 daripada mangsa dipercayai warga asing, manakala seorang lagi mangsa disahkan rakyat Sepanyol.
Sementara itu, Ketua kerajaan wilayah Andalusia, Juan Manuel Moreno Bonilla, berkata ujian DNA diperlukan bagi mengenal pasti 12 mangsa kerana keadaan mayat mereka terbakar teruk dan tidak dapat dikenali.- AGENSI










