Zverev akhirnya bebas daripada bayang-bayang kegagalan

Zverev akhirnya bebas daripada bayang-bayang kegagalan

ALEXANDER Zverev menjulang Trofi Coupe des Mousquetaires selepas menewaskan wakil Itali, Flavio Cobolli pada perlawanan akhir perseorangan lelaki Terbuka Perancis di Roland Garros, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Penantian panjang Alexander Zverev untuk bergelar juara Grand Slam akhirnya berakhir dan bintang Jerman itu percaya kejayaan tersebut mampu membuka laluan kepada lebih banyak gelaran besar pada masa depan.

Pemain berusia 29 tahun itu menamatkan kemarau kejuaraan utama selepas menewaskan wakil Itali, Flavio Cobolli 6-1, 4-6, 6-4, 6-7 (5/7), 6-1 pada final Terbuka Perancis di Roland Garros, semalam.

Kejayaan itu hadir selepas tiga episod kekecewaan di pentas akhir Grand Slam sebelum ini termasuk Terbuka Amerika Syarikat (AS) 2020, Terbuka Perancis 2024 dan Terbuka Australia tahun lalu.

Zverev mengakui gelaran sulung tersebut memberikan kelegaan besar kerana beliau tidak lagi perlu memikul label sebagai pemain terbaik dunia yang gagal memenangi Grand Slam.

“Kini apa sahaja yang berlaku selepas ini, saya akan sentiasa dikenang sebagai juara Grand Slam dan tiada siapa boleh mengambil perkara itu daripada saya.

“Sejujurnya saya mungkin sedikit mabuk ketika ini, tetapi saya sangat gembira dapat duduk bersama trofi ini,” katanya.

Menurut pemenang pingat emas Olimpik Tokyo itu, kejayaan di Roland Garros turut memberikan kebebasan dari sudut mental setiap kali beraksi dalam perlawanan akhir selepas ini.

“Sudah tentu trofi ini meningkatkan keyakinan saya dan ia memberi ketenangan yang berbeza.

“Walaupun saya kalah dalam mana-mana final selepas ini, saya tetap seorang juara Grand Slam dan itu membuatkan saya percaya saya mampu melakukannya sekali lagi,” katanya.

Bagaimanapun, Zverev mengakui status sebagai pilihan utama kejohanan sedikit sebanyak memberi tekanan kepadanya pada final tersebut terutama selepas beberapa pencabar utama seperti Jannik Sinner dan Novak Djokovic tersingkir lebih awal.

Beliau mendedahkan mengalami kekejangan mental sepanjang perlawanan sebelum berjaya melepaskan tekanan itu dalam set penentuan, sekali gus membolehkannya tampil lebih agresif untuk menamatkan perjuangan Cobolli dan menjulang trofi Grand Slam pertama dalam kariernya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN