Wanita parah diserang jerung di Sydney

Wanita parah diserang jerung di Sydney

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SYDNEY: Seorang wanita cedera parah selepas diserang seekor ikan jerung di Pantai Coogee, Sydney semalam, dalam kejadian terbaharu siri serangan haiwan itu di pantai Australia.

Polis berkata, mangsa berusia 30-an digigit ketika berada di dalam air sebelum ditarik keluar oleh orang awam yang segera memberikan bantuan kecemasan.

Mangsa mengalami kecederaan serius pada bahagian lengan dan kaki sebelum diterbangkan ke hospital untuk rawatan lanjut. Pihak berkuasa sedang menyiasat kejadian itu.

Pantai Coogee dan dua lagi pantai berhampiran ditutup pada Sabtu susulan serangan tersebut.

Seminggu sebelumnya, seorang lelaki maut selepas diserang ikan jerung ketika memancing di luar pantai negeri Australia Barat, dalam kejadian maut terbaharu.

Bulan lalu, seorang lelaki berusia 39 tahun turut maut selepas diserang ketika memancing di Terumbu Sawar Besar, Queensland. 10 hari sebelumnya, seorang lelaki berusia 38 tahun maut selepas dibaham jerung di luar sebuah pulau berhampiran Perth, di Australia Barat.

Puluhan pantai di sepanjang pantai timur Australia, termasuk di Sydney, pernah ditutup pada Januari selepas empat serangan jerung dalam tempoh dua hari. 

Kejadian itu berlaku selepas hujan lebat yang menyebabkan air menjadi keruh, menarik perhatian jerung dan mengurangkan jarak penglihatan.

Kebanyakan serangan jerung berlaku di sepanjang pesisir timur dan tenggara Australia, dengan purata sekitar 20 insiden setahun, menurut Institut Kesihatan dan Kebajikan Australia.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN