JOHOR BAHRU: Seorang ibu muda mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian bayi perempuannya yang baharu lahir di Taman Sutera Utama, di sini, bulan lalu.
Tertuduh, Nuran Batrisya Jamaludin, 22, yang kelihatan tenang sepanjang prosiding itu mengangguk faham dan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Mohd. Zamir Suhaimee.
Mengikut kertas pertuduhan, wanita itu didakwa menyebabkan kematian seorang bayi perempuan di kawasan parkir kereta Blok Rajawali, Flat Program Perumahan Rakyat (PPR) Melana Indah Fasa 2, Taman Sutera Utama, di sini, antara pukul 11 pagi hingga 2.30 petang, pada 20 Mei lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, R. Nevina tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh memandangkan kesalahan tersebut tidak boleh dijamin.
Tertuduh yang belum berkahwin memohon budi bicara mahkamah untuk membenarkan dirinya diikat jamin atas alasan perlu menjaga kembar kepada mangsa dan mempunyai tanggungan keluarga lain.
“Saya nak jaga ‘baby’ (bayi kembar kepada mangsa), saya ada tanggungan lagi,” rayu wanita yang tidak bekerja itu.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan dua penjamin tempatan beserta syarat tambahan iaitu perlu menyerahkan pasport, melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta dilarang mengganggu saksi pendakwaan.
Mahkamah turut menetapkan tarikh 3 Julai depan sebagai sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan keputusan hukuman.
Terdahulu, media melaporkan seorang wanita tempatan ditahan selepas disyaki mencampak bayi perempuan yang baharu dilahirkan dari tingkat 10 sebuah flat di sini hingga menyebabkan kematian sebelum ditahan polis. – UTUSAN










