WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump sekali lagi menegaskan gertakannya untuk membina dinding penapis udara mega di sepanjang sempadan antara negara itu dengan Kanada bagi menyekat ancaman jerebu akibat kebakaran hutan.
Menerusi hantaran di platform Truth Social miliknya pada malam Sabtu, Trump memuat naik imej janaan kecerdasan buatan (AI) yang memaparkan reka bentuk cadangan ‘Dinding Penapis Udara Amerika Utara.’
“Udara Bersih. Sempadan Jelas,” menurut tulisan pada papan tanda di bawah dinding penapis udara tersebut.
Tindakan itu menyusul selepas Trump pada Isnin lalu mengenakan tarif sebanyak 50 peratus ke atas Kanada berikutan krisis asap kebakaran hutan dari negara jiran itu yang menyelubungi beberapa bandar utama di AS.
Rumah Putih dalam satu kenyataan berkata, pelaksanaan tarif tersebut akan mula berkuat kuasa dalam tempoh 30 hari dan merangkumi pelbagai barangan eksport daripada minuman wain, kayu hoki sehingga kepada simen.
Seorang pegawai pentadbiran Rumah Putih memberitahu bahawa Pemimpin AS itu turut mengarahkan para pembantunya untuk mengkaji pengenaan tarif tambahan ke atas Kanada selepas menuduh negara berkenaan mencemarkan dan meracuni udara Amerika.
Langkah drastik itu dibuat selepas Trump mendakwa Kanada melakukan diskriminasi secara tidak adil terhadap produk automotif, minuman beralkohol dan barangan tenusu dari AS.
Sebelum ini, Trump mendakwa AS kini dicemari oleh udara kotor, tercemar dan tidak sihat yang mana kualitinya amat berbahaya serta tidak boleh diterima sama sekali.
Beliau turut berikrar untuk menuntut Kanada bertanggungjawab atas kegagalan negara itu mengurus dan menyelenggara kawasan hutan serta semak samun mereka dengan betul.
Pengumuman tarif mengejut itu dibuat sejurus selepas Trump mengadakan pertemuan mesra dengan Perdana Menteri Kanada, Mark Carney pada perlawanan akhir Perlawanan Akhir Bola Sepak Piala Dunia. – AGENSI










