PETALING JAYA: Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay menegaskan beliau tidak berhasrat untuk menyertai politik selepas menamatkan perkhidmatannya dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau berkata, urusan politik sewajarnya diserahkan kepada ahli politik, malah mengakui dirinya bukan seorang ahli pidato atau ahli politik.
“Politik, politik serah kepada orang politik. Saya bukan politician. Kalau mahu suruh saya jadi negarawan, saya mahu..
“Apa beza negarawan dengan ahli politik? Ahli politik memikirkan lima tahun lagi untuk kekal, tetapi negarawan memikirkan 20 tahun akan datang,” katanya dalam sidang akhbar dalam Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) hari ini.
Mengulas dakwaan campur tangan politik sepanjang kerjayanya, Ayob Khan menyifatkan soalan itu sebagai sensitif, namun memberi contoh tindakannya ketika mengetuai Bahagian Counter Terrorism pada 2019.
Beliau berkata, ketika itu pihaknya menahan 14 atau 15 individu yang disyaki terbabit dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE), termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti kerajaan ketika itu.
“Saya tangkap juga. Adakah itu menunjukkan ada campur tangan politik? Tiada. Kalau melintasi garisan tidak kira siapa pun. kalau saya.. saya akan tangkap,” katanya.
Menurutnya, sekiranya Malaysia mahu memiliki pasukan polis bertaraf dunia (world class policing), polis perlu diberi ruang untuk menguatkuasakan undang-undang secara bebas tanpa mengira kedudukan atau latar belakang individu.
“Kita tidak kira sesiapa, parti kerajaan atau parti pembangkang. Kalau melintasi garisan undang-undang, tangkap. Barulah orang hormat kepada pasukan polis,” katanya.
Dalam pada itu, Ayob Khan turut mengulangi pendiriannya berhubung pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dengan menyatakan beliau sebelum ini tidak bersetuju akta berkenaan dimansuhkan.
“Bila saya cakap pasal ISA ramai yang tidak selesa. Yang sudah dibubarkan, bubarlah tetapi kalau tanya saya, tidak ada asas untuk dibubarkan. Saya memang menyatakan pendirian saya tidak setuju dibubarkan, tetapi ia sudah dibubarkan,” katanya.– UTUSAN










