Vaksin pertama dunia dibangunkan AI

Vaksin pertama dunia dibangunkan AI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CAMBRIDGE: Teknologi kecerdasan buatan (AI) digunakan untuk membangunkan sejenis vaksin generasi baharu yang berpotensi melindungi manusia daripada pelbagai jenis virus serta membantu mencegah pandemik pada masa hadapan.

Penyelidik di Universiti Cambridge berkata, ia adalah kali pertama komponen utama sesebuah vaksin direka sepenuhnya menggunakan teknologi AI sebelum diuji ke atas manusia.

Vaksin berkenaan direka untuk memberikan perlindungan terhadap semua jenis koronavirus, termasuk pelbagai varian Covid-19 serta virus yang kini menjangkiti haiwan tetapi berpotensi menular kepada manusia dan mencetuskan pandemik baharu.

Menurut pasukan penyelidik, kajian itu masih berada pada peringkat awal, namun mereka kini sedang membangunkan vaksin serupa bagi menangani influenza dan Ebola.

Vaksin berfungsi dengan melatih sistem imun badan untuk mengenal pasti dan bertindak balas terhadap jangkitan, sekali gus meningkatkan keupayaan tubuh melawan penyakit.

Namun, sesetengah virus mampu bermutasi dengan cepat, menyebabkan vaksin menjadi kurang berkesan dari semasa ke semasa.

Keadaan itu menjadikan vaksin Covid-19 dan influenza bermusim perlu dikemas kini secara berkala bagi memastikan tahap perlindungan yang optimum.

Penemuan terbaharu itu dilihat berpotensi membuka jalan kepada pembangunan vaksin sejagat yang mampu memberikan perlindungan lebih meluas terhadap pelbagai ancaman penyakit berjangkit pada masa depan.

“Kita sentiasa ketinggalan. Apa yang kami cuba lakukan ialah mendahului keadaan supaya berada jauh ke hadapan bagi melindungi daripada wabak baharu atau pandemik,” kata Prof Jonathan Heeney.

Biasanya, vaksin direka menggunakan strain virus yang sedang wujud pada masa itu.

Penyelidik Cambridge menggunakan kod genetik yang diketahui, iaitu ‘manual arahan kehidupan’, daripada pelbagai jenis koronavirus yang direkodkan oleh program pemantauan yang mencari ancaman virus berpotensi.

Kod genetik ini dianalisis oleh AI dan kemudian mereka bentuk sejenis ‘super-antigen’ yang boleh melatih sistem imun dengan cara memberikan perlindungan terhadap keseluruhan keluarga virus, walaupun ia bermutasi atau jangkitan baharu berpindah daripada haiwan kepada manusia.

Antigen ialah komponen penting dalam vaksin kerana ia merupakan sasaran yang dipelajari oleh sistem imun untuk melawan jangkitan.

Heeney berkata, ini merupakan kali pertama antigen yang direka oleh AI diuji ke atas manusia. Beliau menyifatkan teknologi itu sebagai ‘mengejutkan’ dan ‘luar biasa’ untuk kebaikan manusia.- BBC

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN