Usaha damai AS-Iran terus dibelenggu ketegangan

Usaha damai AS-Iran terus dibelenggu ketegangan

KEPULAN asap kelihatan dari lokasi serangan udara Israel yang menyasarkan bandar Nabatieh di selatan Lubnan kelmarin.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Usaha Amerika Syarikat (AS) dan Iran untuk memuktamadkan perjanjian damai terus dibelenggu ‘gangguan’ apabila pertempuran di lapangan masih berlarutan walaupun rundingan dikatakan hampir dicapai.

Seorang pegawai kanan pentadbiran AS mendakwa, kedua-dua pihak bersetuju terhadap teks awal perjanjian dan Washington menjangkakan satu pemeteraian akan berlaku dalam tempoh terdekat.

Menurut sumber, draf memorandum persefahaman yang sedang dibincangkan turut merangkumi pembukaan semula Selat Hormuz serta penarikan sekatan tentera laut AS ke atas pelabuhan Iran, manakala rundingan berhubung program nuklear Iran akan diteruskan selepas itu.

Bagaimanapun, ketegangan kembali memuncak pada Sabtu apabila pasukan AS menembak jatuh beberapa dron serangan sehala milik Iran yang menuju ke Selat Hormuz, dan disifatkan sebagai ancaman terhadap lalu lintas komersial.

Komando Pusat AS (CENTCOM) berkata, sebuah jet pejuang F-16 dikerahkan untuk ‘meronda ruang udara Asia Barat’, sambil menegaskan pasukan Amerika mengekalkan kehadiran dan kesiapsiagaan di rantau tersebut. 

CENTCOM turut melaporkan, pasukan AS menembak jatuh beberapa dron serangan sehala yang dilancarkan Iran dalam cubaan menyerang kapal dagang di Selat Hormuz, sambil menegaskan laluan perdagangan antarabangsa kekal terbuka untuk pergerakan.

Agensi berita Iran melaporkan beberapa letupan kedengaran di kawasan Selat Hormuz, termasuk pelabuhan Sirik dan pulau Qeshm, yang menurut penduduk serta pegawai tempatan berpunca daripada tembakan amaran terhadap kapal yang cuba melintasi laluan itu tanpa kebenaran tentera laut Pengawal Revolusi Iran.

Perbezaan pendapat antara kedua-dua pihak terus berlarutan, dengan media negara Iran menerbitkan pecahan butiran yang didakwa berada di atas meja rundingan tetapi bercanggah dengan kenyataan Washington.

“Memorandum Persefahaman Islamabad tidak pernah sedekat ini,” tulis Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, merujuk ibu negara Pakistan yang menjadi tuan rumah rundingan AS-Iran sebelum ini.

Peningkatan pertempuran turut berlaku di Lubnan apabila Israel melancarkan serangan di selatan negara itu semalam, tidak lama selepas tentera rejim mengeluarkan amaran pemindahan di 20 lokasi termasuk bandar Nabatieh.

Agensi Berita Kebangsaan Lubnan (NNA) melaporkan serangan udara Israel di beberapa kawasan yang termasuk dalam amaran pemindahan itu, melibatkan kampung Rihan dan Sujud berhampiran Nabatieh.

Netanyahu bertelagah dengan Presiden Donald Trump dalam beberapa minggu kebelakangan ini berhubung desakan Washington agar sekutunya itu mengehadkan tindakan ketenteraan di Lubnan bagi membolehkan perjanjian dicapai.-AFP/AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN