Tuchel puas hati semangat juang pemain

Tuchel puas hati semangat juang pemain

THOMAS Tuchel-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARLINGTON: Pengendali England, Thomas Tuchel memuji karakter dan semangat juang dipamerkan anak buahnya selepas bangkit daripada aksi hambar pada separuh masa pertama untuk menewaskan Croatia 4-2 dalam perlawanan pembukaan Kumpulan L Piala Dunia di Dallas, awal pagi tadi.

England yang dua kali berada di hadapan menerusi Harry Kane, bagaimanapun dikejutkan dengan kebangkitan Croatia apabila Martin Baturina dan Petar Musa masing-masing menjaringkan gol untuk mengikat kedudukan 2-2 sebelum rehat.

Namun, perubahan pendekatan selepas turun minum membolehkan The Three Lions menguasai permainan apabila Jude Bellingham dan Marcus Rashford muncul wira dengan menambah dua lagi jaringan bagi memastikan tiga mata berharga buat pasukan itu.

“Saya sangat suka keseluruhan persembahan pada separuh masa kedua. Saya juga gembira melihat reaksi pemain selepas melalui separuh masa pertama yang sangat sukar menentang lawan berkualiti,” kata Tuchel.

Menurut pengendali dari Jerman itu, England kelihatan terlalu berhati-hati dan gugup pada awal permainan sehingga gagal mempamerkan identiti sebenar mereka.

“Saya fikir kami sedikit gugup dan terlalu mahu melakukan yang terbaik sehingga terlalu banyak berfikir ketika membuat keputusan.

“Apabila kami sepatutnya bermain hantaran pendek, kami memilih hantaran jauh dan apabila perlu bermain jauh, kami pula memilih hantaran pendek.

“Kami menghabiskan terlalu banyak masa di kawasan sendiri, sedangkan itu bukan identiti kami. Malah, walaupun dua kali mendahului, kami masih tidak bermain dengan bebas.

“Saya rasa pemain seperti mahu mempertahankan sesuatu dan kami dihukum kerana sikap itu. Dari sudut psikologi, ia bukan sesuatu yang mudah, tetapi saya amat menyukai reaksi mereka selepas rehat,” ujarnya.

Kane terlebih dahulu meletakkan England di hadapan menerusi sepakan penalti pada minit ke-12 sebelum Baturina menyamakan kedudukan.

Kapten England itu kemudian kembali meledak untuk jaringan keduanya dan gol ke-10 peribadi di pentas Piala Dunia, namun Musa memastikan Croatia sekali lagi menyamakan kedudukan sebelum tamat babak pertama.

England akhirnya menemui rentak sebenar selepas rehat apabila Bellingham dan Rashford menambah derita Croatia untuk mengesahkan kemenangan 4-2.

Mengulas lanjut, Tuchel mengakui masih banyak aspek yang perlu diperbaiki, namun optimis pasukannya mampu berkembang sepanjang kejohanan.

“Masih ada perkara yang perlu diperbaiki dan itu sesuatu yang normal. Dalam kejohanan seperti ini, anda perlu terus berkembang selepas setiap perlawanan.

“Kami berada dalam kumpulan yang sukar, jadi sekarang kami mahu menikmati kemenangan ini dan menggunakan masa yang ada untuk terus memperbaiki pasukan,” katanya.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN