BOSTON: Haiti dan Scotland sedar tiga mata dalam aksi pembukaan Kumpulan C esok mungkin menjadi penentu utama peluang mereka untuk mara ke pusingan seterusnya.
Kedua-dua pasukan bukan pilihan utama kumpulan yang turut dibarisi gergasi Amerika Selatan, Brazil serta wakil Afrika, Maghribi.
Justeru, kemenangan dalam pertemuan sesama sendiri dianggap misi wajib sebelum mereka berdepan cabaran lebih besar selepas ini.
Scotland kembali ke pentas Piala Dunia buat kali pertama sejak 1998 dan berharap pengalaman pemain yang beraksi di liga-liga utama Eropah mampu memberi kelebihan.
Bagi Haiti pula, kemunculan semula selepas 52 tahun dianggap satu pencapaian besar dan mereka mahu memastikan perjalanan kali ini tidak berakhir sekadar pelengkap jadual.
Pengendali Scotland, Steve Clark percaya tekanan sebenar terletak kepada pasukan yang gagal mengutip mata kerana laluan selepas itu akan menjadi jauh lebih sukar.
“Kami tahu kepentingan perlawanan pertama ini. Ia bukan penentu mutlak, tetapi kemenangan akan memberikan kelebihan besar dalam saingan kumpulan,” kata Clark.
Kedua-dua pasukan dijangka mengambil pendekatan lebih berhati-hati memandangkan kekalahan boleh menjejaskan peluang mereka sebelum bertemu Brazil dan Maghribi.
Haiti memburu kemenangan pertama dalam sejarah penampilan mereka di pentas Piala Dunia selepas gagal meraih sebarang mata pada penyertaan terdahulu. – AGENSI










