Thaksin layak dapat pengampunan diraja

Thaksin layak dapat pengampunan diraja

THAKSIN SHINAWATRA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANGKOK: Bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra, memenuhi syarat untuk mendapat pengampunan diraja sebagai sebahagian daripada langkah pengampunan bersempena ulang tahun kelahiran permaisuri.

Thaksin, 76, menjalani hukuman penjara selama lapan bulan daripada hukuman satu tahun atas kesalahan rasuah dan salah guna kuasa sebelum dibebaskan secara parol bulan lalu atas faktor usia.

Jabatan Penjara berkata, bekas perdana menteri itu dikehendaki memakai alat pemantauan elektronik sebagai syarat pembebasannya.

Menteri Keadilan, Rutthapon Naowarat pada Rabu berkata, Thaksin adalah antara mereka yang layak menerima langkah pengampunan diraja terbaharu.

“Beliau ada dalam senarai. Beliau mempunyai kurang daripada satu tahun lagi untuk menjalani hukuman,” kata Rutthapon Naowarat kepada wartawan dalam satu upacara diraja.

Peguam Thaksin, Winyat Chatmontree, memberitahu AFP satu jawatankuasa kerajaan masih perlu membuat keputusan sama ada alat pemantauan elektronik yang dipakainya akan ditanggalkan.

Thailand secara berkala memberikan pengampunan diraja kepada banduan yang berkelakuan baik sempena acara besar diraja, termasuk ulang tahun kelahiran raja dan permaisuri.

Thaksin merupakan antara tokoh paling berpengaruh dalam politik moden Thailand dan pernah berkhidmat dua penggal sebagai perdana menteri.

Penggal keduanya dipendekkan oleh rampasan kuasa tentera pada 2006, selepas itu beliau menghabiskan lebih sedekad dalam buangan sebelum kembali ke Thailand pada 2023.

Parti Pheu Thai serta versi sebelumnya merupakan parti paling berjaya di Thailand pada abad ke-21, dengan keluarga Shinawatra melahirkan empat perdana menteri serta mendapat sokongan besar daripada rakyat luar bandar.

Namun, Pheu Thai mencatat keputusan pilihan raya terburuk pada Februari, apabila merosot ke tempat ketiga sekali gus menimbulkan persoalan mengenai masa depan jentera politik Thaksin.- AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN