PETALING JAYA: Hasrat skuad bawah 19 (B-19) negara untuk mara ke peringkat separuh akhir Kejuaraan B-19 ASEAN tidak kesampaian selepas tumpas 3-2 kepada Thailand dalam aksi terakhir Kumpulan B kejohanan, hari ini.
Kekalahan itu menyebabkan skuad kendalian Nafuzi Zain menjadi naib johan ketiga terbaik keseluruhan di peringkat kumpulan.
Berdasarkan format kejohanan, hanya naib juara terbaik sahaja yang layak ke separuh akhir kejohanan.
Dalam aksi yang berlangsung di Stadium Madya 1, Malaysia terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan Amar Imran Uzaini Ashadi pada minit ke-13 sebelum Pichaiya Kongsri menyamakan kedudukan pada minit ke-21.
Thailand berada di depan menerusi gol Pirada Larsawat pada minit ke-42 sebelum Arsyad Shamsul Asmadi meledak gol penyamaan pada minit terakhir babak pertama.
Ketika permainan seakan-akan berkesudahan seri, Pichaiya menjaringkan gol kemenangan ketika permainan berbaki 11 minit menuju tamat. – UTUSAN










