Sze Fei-Nur Izzuddin semakin matang

Sze Fei-Nur Izzuddin semakin matang

GOH Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menjulang gelaran Terbuka Indonesia, kelmarin, di Istora Senayan, Jakarta.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kejayaan beregu lelaki profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menjulang gelaran Terbuka Indonesia kelmarin bukan sekadar menamatkan kemarau 18 tahun Malaysia, sebaliknya membuktikan ketahanan fizikal dan mental mereka berada pada tahap luar biasa.

Selepas mengharungi empat kejohanan berturut-turut sepanjang sebulan lalu, beregu No.8 dunia itu tetap mampu menampilkan aksi bertenaga untuk menundukkan pasangan tuan rumah, Raymond Indra-Nikolaus Joaquin 13-21, 21-18, 21-10 pada aksi final di Istora Senayan, Jakarta.

Lebih manis, kemenangan tersebut hadir hanya seminggu selepas mereka dikecewakan pada suku akhir Terbuka Singapura dan dua minggu selepas muncul naib juara Malaysia Masters di hadapan penyokong sendiri.

Kejayaan itu sekali gus menamatkan penantian panjang Malaysia dalam acara beregu lelaki Terbuka Indonesia sejak kali terakhir dimenangi Mohd Zakry Latif-Mohd Fairuzizuan Tazari pada 2008.

“Syukur kerana kami berjaya melakukannya sekali lagi di Istora. Pertama sekali saya ingin berterima kasih kepada pasangan saya, pasukan dan penaja yang sentiasa memberikan sokongan tanpa henti.

“Terima kasih juga kepada penyokong kerana sokongan mereka banyak membantu kami untuk terus berjuang sehingga tamat perlawanan,” kata Izzuddin.

Kemenangan itu turut menyerlahkan kematangan Sze Fei-Izzuddin apabila tidak panik meskipun tewas set pertama sebelum bangkit mengubah corak permainan untuk menguasai dua set berikutnya.

“Sudah tentu ada rasa bimbang, tetapi kami hanya fokus satu mata demi satu mata dan terus bergerak ke hadapan,” kata Sze Fei.

Lebih menarik, gelaran tersebut merupakan trofi Super 1000 kedua buat pasangan itu selepas muncul juara Terbuka China 2024, sekali gus menjadikan mereka satu-satunya beregu lelaki Malaysia yang pernah memenangi dua kejohanan bertaraf Super 1000.

Di sebalik kejayaan bersejarah itu, kedua-dua pemain turut mencuri perhatian apabila berseloroh mengenai hadiah wang tunai AS$107,300 (RM435,959) yang dimenangi, dengan Izzuddin dan Sze Fei masing-masing mengakui ganjaran tersebut akan diserahkan kepada isteri mereka.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN