Sweden masih ada peluang mara- Potter

Sweden masih ada peluang mara- Potter

PENYERANG Sweden, Anthony Elanga berjaya melepasi kawalan pertahanan Belanda dan menjaring gol tunggal buat pasukan pada aksi kedua Kumpulan F.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HOUSTON: Ketua jurulatih Sweden, Graham Potter percaya kekalahan memalukan 5-1 kepada Belanda dalam aksi Kumpulan F Piala Dunia 2026 hari ini akan menjadi titik kebangkitan buat pasukannya menjelang perlawanan terakhir kumpulan.

Selepas memulakan kempen dengan bergaya menerusi kemenangan 5-1 ke atas Tunisia, Sweden dikejutkan oleh aksi bertenaga Belanda yang mempamerkan ketajaman luar biasa di Stadium Houston.

Skuad kendalian Ronald Koeman mendahului 4-0 hasil dua jaringan masing-masing daripada Brian Brobbey dan Cody Gakpo sebelum Anthony Elanga menghadirkan sedikit harapan buat Sweden menerusi gol saguhati.

Namun, Crysencio Summerville menambah luka Sweden apabila melengkapkan kemenangan besar Belanda.

Potter mengakui pasukannya gagal mengekalkan keyakinan selepas dibolosi awal, namun enggan menjadikan kekalahan itu sebagai alasan untuk menjatuhkan semangat pemainnya.

“Kami perlu mengucapkan tahniah kepada mereka. Kami akan belajar banyak daripada perlawanan ini. Keputusan itu memberi kesan kepada kami dan kami menjadi sedikit pasif serta kurang yakin dengan apa yang mahu dilakukan di atas padang.

“Ia mengecewakan, tetapi saya percaya kami akan menjadi pasukan yang lebih baik selepas melalui pengalaman ini,” katanya.

Walaupun keputusan memalukan, Potter merasakan angka 5-1 tidak menggambarkan sepenuhnya perjalanan sebenar perlawanan.

Sweden mencipta 20 percubaan dengan sembilan daripadanya tepat ke sasaran, namun kelemahan di bahagian pertahanan menyebabkan mereka dihukum, termasuk dibolosi seawal minit kelima menerusi Brobbey.

Menurut bekas pengendali Chelsea itu, anak buahnya menunjukkan reaksi positif selepas rehat dan berjaya mengimbangi permainan sebelum dibolosi lagi dalam usaha mencari jalan kembali ke dalam perlawanan.

“Saya fikir reaksi pemain selepas separuh masa sangat baik. Malah, saya merasakan kami adalah pasukan yang lebih baik ketika itu. Malangnya kami melepaskan lagi gol dan itu menyukarkan keadaan.

“Belanda bermain dengan sangat baik dan mereka berhak menang, tetapi kami perlu mengambil perkara positif daripada perlawanan ini serta memperbaiki kelemahan yang ada,” ujarnya.

Sweden kini perlu bangkit segera menjelang aksi terakhir kumpulan menentang Jepun, perlawanan yang bakal menentukan sama ada mereka mampu meneruskan perjalanan ke pusingan 32 terbaik atau pulang lebih awal dari pentas Piala Dunia.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN