NILAI: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menolak untuk kembali menerajui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), sebaliknya menyarankan agar tampuk kepimpinan badan induk bola sepak negara itu diserahkan kepada generasi baharu.
Baginda bertitah, sudah tiba masanya golongan muda diberikan peluang memimpin FAM dalam usaha membawa nafas serta idea segar kepada pembangunan bola sepak negara.
“Saya tak payahlah… saya dah orang lama.Bagi orang muda, orang muda,” titah baginda secara ringkas ketika ditemui pada Kejohanan Trek Kebangsaan 2026 di Velodrom Nasional, hari ini.
Titah Al-Sultan Abdullah itu sekali gus menamatkan spekulasi mengenai kemungkinan baginda kembali mengisi jawatan Presiden FAM menjelang Kongres Pemilihan badan induk berkenaan yang dijadual berlangsung pada September depan.
Nama baginda sebelum ini disebut-sebut sebagai antara figura yang mampu mengembalikan kestabilan FAM susulan kemelut pentadbiran yang melanda badan induk tersebut sejak awal tahun ini.
Namun, pendirian tegas Sultan Pahang itu memberi isyarat jelas bahawa masa depan FAM perlu diterajui barisan kepimpinan baharu yang mampu membawa perubahan positif kepada landskap bola sepak negara.
Al-Sultan Abdullah bukanlah nama asing dalam arena bola sepak tempatan apabila pernah memegang jawatan Presiden FAM dari 2014 hingga 2017, selain memainkan peranan penting dalam pelbagai inisiatif pembangunan sukan berkenaan.
Kongres Pemilihan FAM September ini dijangka menjadi antara detik paling penting buat badan induk itu selepas melalui fasa sukar yang menyaksikan keseluruhan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) meletakkan jawatan pada Januari lalu.
Tindakan itu dibuat bagi memberi laluan kepada audit dalaman yang dijalankan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) susulan isu tujuh pemain kebangsaan yang digantung Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kerana kes pemalsuan dokumen.
Hasil audit yang telah dibentangkan dalam Kongres Luar Biasa FAM minggu lalu kini membuka laluan kepada proses pemilihan kepimpinan baharu yang bakal menentukan hala tuju badan induk tersebut.
Kepimpinan yang bakal dipilih September nanti bukan sahaja berdepan cabaran memulihkan reputasi FAM, malah perlu mengembalikan keyakinan pemegang taruh serta memastikan agenda pembangunan bola sepak negara terus berada di landasan yang tepat.-UTUSAN










