PETALING JAYA: Tiada sebarang petanda yang menunjukkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berhasrat menyertai Pakatan Harapan (PH) susulan perkembangan terkini hubungan parti itu dengan Pas.
Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setakat ini beliau tidak melihat sebarang petunjuk ke arah tersebut meskipun timbul pelbagai spekulasi selepas Pas menamatkan kerjasama politik dengan Bersatu pada Isnin lalu.
“Setakat ini tiada tanda-tanda ke arah itu,” katanya kepada pemberita pada penghujung lawatan rasmi ke Jepun hari ini.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, sebarang kerjasama politik perlu dibina menerusi perbincangan dan rundingan yang baik, bukannya didorong oleh perpecahan atau perubahan pakatan secara mengejut.
“Kita bincang dan berunding dengan baik, kita bekerjasama dengan baik,” katanya.
Pada masa sama, Presiden PKR itu menegaskan, beliau tidak mahu PH terlibat dalam sebarang tindakan yang boleh dilihat sebagai mengkhianati rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan.
Menurutnya, Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan kekal kukuh meskipun terdapat beberapa perbezaan pandangan yang berlaku di peringkat negeri..
Pada 28 Mei lalu, Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz dilaporkan berkata, tidak pernah wujud sebarang perbincangan dalam parti itu sama ada secara rasmi atau tidak rasmi mengenai kemungkinan untuk kembali menyertai PH.
Malah, beliau menyifatkan tindakan tersebut sebagai tidak masuk akal memandangkan Bersatu memainkan peranan penting dalam kejatuhan kerajaan PH pada Februari 2020. – UTUSAN










