MARANG: Sebanyak 140 kes melibatkan kejadian sesat di hutan dan kawasan pendakian direkodkan di seluruh negara sejak tahun lalu hingga Mei tahun ini, membabitkan seramai 307 mangsa.
Ketua Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 88 kes melibatkan 193 mangsa direkodkan sepanjang tahun 2025.
Katanya, bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini pula, sebanyak 52 kes melibatkan 114 mangsa dicatatkan.
“Secara keseluruhan bagi kedua-dua tempoh tersebut, sejumlah 140 kes dengan 307 mangsa dilaporkan.
“Statistik ini menunjukkan aktiviti pendakian dan rekreasi lasak semakin mendapat sambutan masyarakat, namun pada masa sama aspek keselamatan perlu diberi perhatian serius,” katanya selepas Penutupan Pertandingan Kawad Kecekapan Tahun 2026 di Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Timur, Wakaf Tapai, di sini, hari ini.
Nor Hisham berkata, setiap individu yang melakukan aktiviti pendakian perlu membuat persediaan rapi termasuk memaklumkan laluan perjalanan, memastikan tahap kesihatan fizikal berada dalam keadaan baik serta menggunakan khidmat malim gunung bertauliah.
Katanya, pematuhan prosedur operasi standard dan arahan pihak berkuasa juga penting bagi mengelakkan kejadian tidak diingini selain memudahkan operasi mencari dan menyelamat sekiranya berlaku kecemasan. – UTUSAN










