13 ahli Parlimen gesa Bersatu keluar PN

13 ahli Parlimen gesa Bersatu keluar PN

PN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 13 orang ahli Parlimen menggesa supaya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengundur diri daripada Perikatan Nasional (PN) kerana mendakwa kehadiran parti itu bakal menjadi beban kepada gabungan tersebut.

Mereka berkata, tindakan Pas memutuskan kerjasama politik dengan Bersatu bukan sesuatu yang mengejutkan berikutan sikap kepemimpinan Bersatu yang didakwa kerap melanggar semangat kebersamaan dalam PN.

Mereka berkata, keengganan menghormati semangat setia kawan antara parti komponen akhirnya memakan diri dan menghancurkan keutuhan gabungan yang dibina dengan susah payah.

“Kami selaku ahli-ahli Parlimen telah banyak kali memberi teguran secara dalaman kepada Tan Sri Muhyiddin mengenai hala tuju parti dan kepentingan menjaga hubungan dalam PN.

“Malangnya, setiap teguran membina yang kami suarakan langsung tidak diendahkan malah Lembaga Disiplin telah disalahgunakan untuk menutup mulut kami daripada terus menyuarakan kebenaran,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tiga belas ahli Parlimen itu ialah Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran), Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Zakri Hassan (Kangar) dan Nordin Ahmad Ismail (Lumut).

Turut menandatangani kenyataan media itu ialah Datuk Abdul Khalib Abdullah (Rompin), Datuk Muslimin Yahaya (Sungai Besar), Muhammad Islahuddin Abas (Mersing), Kalam Salan (Sabak Bernam), Datuk Khlir Mohd Nor (Ketereh), Roslan Hashim (Kulim Bandar Baharu) dan Datuk Dr. Ku Abd Rahman Ku Ismail (Kubang Pasu).

Mengulas lanjut, mereka mendakwa Bersatu sudah tidak lagi mempunyai nilai dalam PN memandangkan parti itu hanya berbaki enam ahli Parlimen.

“Kami mendesak supaya Bersatu segera keluar atau dikeluarkan daripada gabungan PN dan semua lantikan politik dan Exco dari Bersatu dalam negeri-negeri yang berkaitan dirombak,” kata mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN