SEOUL: Kapten Korea Selatan, Son Heung Min memohon maaf kepada seluruh rakyat negaranya selepas kegagalan skuad Taegeuk Warriors mara ke pusingan 32 terbaik Piala Dunia 2026 disifatkannya sebagai kenyataan yang masih sukar diterima.
Korea Selatan yang disebut-sebut mampu melepasi saingan Kumpulan A tersingkir secara mengejut selepas tewas 0-1 kepada Afrika Selatan sekali gus gagal berada dalam kelompok lapan pasukan tangga ketiga terbaik untuk meneruskan cabaran.
Kekalahan itu turut mengundang kemarahan penyokong sehingga menyaksikan ketua jurulatih, Hong Myung Bo meletakkan jawatan, manakala Son pula menjadi tumpuan selepas hanya diturunkan pada babak kedua ketika menentang Afrika Selatan.
“Saya benar-benar tidak tahu bagaimana hendak memulakannya kerana saya tidak mahu berpura-pura seperti tiada apa yang berlaku dan saya juga tidak mahu lari daripada hakikat sebenar.
“Pertama sekali, saya ingin memohon maaf setulus hati kepada seluruh rakyat Korea Selatan dan semua penyokong yang sentiasa menyokong serta menyayangi pasukan kebangsaan,” katanya menerusi hantaran di Instagram.
Pemain berusia 34 tahun itu mengakui penyingkiran awal Korea Selatan masih sukar diterima, apatah lagi kejohanan kali ini dijangka menjadi penampilan terakhirnya di pentas Piala Dunia.
“Sejujurnya sehingga hari ini pun saya masih sukar menerima kenyataan ini.
“Daripada terus bercakap, saya akan berjuang sedaya upaya dari tempat saya berada untuk mengembalikan semula kepercayaan dan kegembiraan kepada seluruh rakyat Korea Selatan serta penyokong bola sepak negara,” katanya. – AGENSI










