GUADALAJARA: Pertahanan Sepanyol, Aymeric Laporte mengingatkan rakan sepasukannya supaya tidak memandang mudah terhadap ancaman Uruguay yang dijangka menyerang habis-habisan dalam aksi terakhir Kumpulan H Piala Dunia, hari ini.
Menurut Laporte, Uruguay yang kini berada dalam kedudukan tertekan selepas hanya mengutip dua mata daripada dua perlawanan pasti akan berusaha keras untuk mengelakkan penyingkiran awal yang memalukan.
Sepanyol hanya memerlukan satu mata untuk mengesahkan kedudukan selaku juara kumpulan, manakala kekalahan hampir pasti menutup peluang Uruguay untuk mara ke pusingan seterusnya.
“Saya fikir sudah jelas mereka akan bermain habis-habisan, sama seperti yang akan kami lakukan jika berada dalam situasi mereka.
“Sebagai pasukan yang pernah muncul juara, mereka sudah tentu mempunyai sasaran untuk melepasi peringkat kumpulan. Namun, nasib kami berada di tangan sendiri,” katanya dalam sidang media, semalam.
Sepanyol sebelum ini terikat tanpa jaringan dengan Cape Verde sebelum bangkit membelasah Arab Saudi 4-0 hasil inspirasi pemain muda sensasi, Lamine Yamal yang kembali memperkuatkan skuad.
Dalam masa sama, Laporte turut menzahirkan penghargaan terhadap pengendali Uruguay, Marcelo Bielsa yang pernah membimbingnya ketika bersama Athletic Bilbao.
Bielsa, yang kini mengendalikan Uruguay, menerima kritikan hebat sejak kebelakangan ini kerana didakwa gagal membina hubungan rapat dengan pemain-pemainnya.
Bagaimanapun, Laporte menyifatkan jurulatih dari Argentina itu sebagai individu yang banyak membantunya pada awal karier profesional.
“Dialah yang memberikan saya peluang membuat penampilan sulung dan kami juga pernah bertemu semula ketika di England.
“Kami banyak berbincang dan saya hanya mampu mengucapkan terima kasih atas segala yang dilakukannya untuk saya,” katanya.
Uruguay sebelum ini sekadar mencatat keputusan seri menentang Arab Saudi dan Cape Verde, sekali gus meletakkan mereka dalam kedudukan sukar menjelang pertemuan penting menentang Sepanyol. – AFP










