KLUANG: Mahkamah Sesyen Kluang membenarkan penambahan reman selama sehari kepada adik pemandu BMW yang terlibat kemalangan maut empat sekeluarga di kilometer 27 Jalan Renggam-Simpang Renggam, dekat sini, semalam.
Perintah reman terhadap suspek berusia 19 tahun itu dikeluarkan Hakim, Mujib Saroji bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh memberitahu, permohonan tambahan reman terhadap suspek hanya dibenarkan sehari sahaja.
“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Penasihat (Undang-Undang) Negeri Johor pada hari ini untuk dapatkan arahan selanjutnya,” katanya.
Semalam, Mahkamah Majistret Batu Pahat membenarkan reman selama dua hari terhadap suspek yang dipercayai berlumba bersama abangnya yang turut maut dalam kemalangan berkenaan.
Kelmarin, media melaporkan kedua-dua beradik tersebut didakwa memandu secara melulu dalam kejadian itu.
Susulan kemalangan tersebut, Mohd. Aiman Mohd. Rashid, 36; Nor Azlina Abd. Latif, 33; Semek Mat Soh, 75; dan Nur Airish Syifa Sidek, 10, beralamat di Terengganu meninggal dunia.
Turut maut abang kepada suspek dikenali sebagai Goh Yi Sheng yang meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital akibat kecederaan parah. – UTUSAN










