Konflik Pas-Bersatu beri kesan keyakinan hala tuju PN

Konflik Pas-Bersatu beri kesan keyakinan hala tuju PN

NIK MUHAMMAD ZAWAWI SALLEH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Konflik dalaman antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memberi kesan kepada kekuatan, kestabilan dan keyakinan terhadap hala tuju Perikatan Nasional (PN) dalam membawa agenda penyatuan ummah.

Setiausaha Majlis Syura Ulama Pas, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, hala tuju PN dan krisis Pas dengan Bersatu diserahkan sepenuhnya kepada Jawatankuasa Kerja Pas Pusat untuk sebarang tindakan.

Katanya, Majlis Syura Ulama Pas memandang serius permasalahan itu dengan mengambil pendekatan mendukung agenda penyatuan ummah serta mengutamakan kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan mana-mana individu atau kelompok.

“Dalam hal ini, Majlis Syura Ulama menegaskan bahawa Pas akan terus istiqamah mempertahankan prinsip perjuangan Islam, mendukung agenda penyatuan ummah serta mengutamakan kepentingan rakyat dan negara melebihi kepentingan mana-mana individu atau kelompok.

“Sehubungan itu, Majlis Syura Ulama telah membuat keputusan untuk menyerahkan perkara ini kepada Jawatankuasa Kerja Pas Pusat bagi mengambil tindakan yang sewajarnya, selaras dengan dasar, prinsip dan kepentingan perjuangan parti,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Tan Sri Annuar Musa berkata, hasil perbincangan mengenai kerjasama dengan Bersatu akan dibawa ke mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat yang dijadualkan Isnin ini.

Katanya, mesyuarat berkenaan akan memperincikan tindakan lanjut berhubung hasil perbincangan Majlis Syura Ulama parti itu, semalam.

Ketetapan itu dibuat Pas susulan siri tindakan Bersatu yang disifatkan kurang menyenangkan.

Minggu lalu, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pas Pusat antara lain dikatakan menerima laporan pesuruhjaya negeri mengenai gerakan akar umbi yang dilihat cenderung bersama Team Reset pimpinan bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Biro Politik Bersatu mengingatkan Pas supaya menghormati dan tidak mencampuri urusan dalaman parti komponen PN berkaitan hal disiplin serta tindakan diambil untuk menstabilkan parti. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN