Pemandu Volkswagen GTI tidak mengaku pandu cara bahaya sebabkan kematian remaja

Pemandu Volkswagen GTI tidak mengaku pandu cara bahaya sebabkan kematian remaja

ASRIZAL Hisham Khalid dibawa ke Mahkmah Majistret Kuala Terengganu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian seorang remaja lelaki dalam kemalangan di Jalan Losong Feri, di sini Mei lalu.

Asrizal Hisham Khalid, 43, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Shariffuddin.

Berdasarkan pertuduhan, lelaki itu yang memandu sebuah kereta jenis Volkswagen GTI didakwa memandu secara berbahaya di Jalan Losong Feru kira-kira pukul 3.36 petang pada 19 Mei lalu sehingga menyebabkan kematian Wah Han Keong, 18.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000 jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh berdepan hukuman hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu bagi tempoh tidak kurang lima tahun dari tarikh sabitan. Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Majistret turut mengenakan syarat tambahan supaya lesen memandu tertuduh digantung sehingga kes berkenaan selesai dibicarakan. Mahkamah menetapkan 3 Ogos ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Terdahulu, kes berkenaan mendapat perhatian ramai selepas kemalangan yang berlaku di Jalan Losong Feri itu mengorbankan seorang remaja lelaki. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN