Lebih 1,200 mahasiswa sertai UiTM Iconic Run 2026

Lebih 1,200 mahasiswa sertai UiTM Iconic Run 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam bakal menganjurkan UiTM Iconic Run 2026, sebuah acara larian santai berskala besar yang dijangka menghimpunkan lebih 1,200 peserta terdiri daripada pelajar kolej kediaman dan luar kampus.

Program yang akan berlangsung pada Sabtu ini dianjurkan bagi memperkasakan budaya hidup sihat dalam kalangan mahasiswa di samping mengeratkan hubungan komuniti kampus menerusi aktiviti sukan dan rekreasi.

Bertemakan konsep mini karnival, UiTM Iconic Run 2026 menawarkan pengalaman larian yang menyeronokkan dengan laluan merentasi mercu tanda ikonik sekitar kampus Shah Alam.

Acara tersebut terbuka kepada semua, termasuk pelari kasual serta peserta yang baru berjinak-jinak dalam aktiviti larian.

Selain memupuk gaya hidup aktif, program ini turut menjadi platform untuk memperkenalkan Pengurusan Non-Resident kepada para pelajar sekaligus mengukuhkan hubungan antara pihak pengurusan dan komuniti mahasiswa.

Majlis perasmian program akan disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM, Profesor Dr. Mohd Sazili Shahibi sebagai tanda sokongan universiti terhadap usaha memperkasa kesejahteraan pelajar serta aktiviti kokurikulum berimpak tinggi.

Antara pengisian menarik yang disediakan termasuk sesi aerobik, acara pelepasan peserta, cabutan bertuah, penyampaian hadiah serta pelbagai aktiviti interaktif sepanjang program berlangsung.

UiTM Iconic Run 2026 turut mendapat kerjasama pelbagai pihak termasuk sekretariat pelajar daripada beberapa fakulti, jawatankuasa sukan pelajar serta rakan industri seperti Bank Islam Malaysia Berhad dan The Incredible Warrior Club.

Program ini juga disokong oleh beberapa penaja utama antaranya Farm Fresh Berhad, Extra Joss, Tropicana Corporation Berhad dan Kumpulan Perangsang Selangor Berhad.

Dengan fokus terhadap kesejahteraan belia, pembangunan komuniti dan pemerkasaan pelajar, UiTM Iconic Run 2026 dijangka menjadi antara acara kecergasan anjuran pelajar terbesar di UiTM pada tahun ini. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN