MUAR: Tempoh tahanan reman pemuda 19 tahun yang terlibat memandu secara melulu bersama abangnya sehingga menyebabkan empat sekeluarga maut di Jalan Renggam-Simpang Renggam, di sini Isnin lalu ditambah dua hari.
Terdahulu, tempoh reman selama tujuh hari terhadap pemuda berkenaan tamat hari ini.
Perintah reman terkini dikeluarkan terhadap suspek yang juga seorang penuntut universiti di Singapura dikeluarkan Majistret, Mustaqim Sukarno.
Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh berkata, permohonan sambung reman terhadap suspek dibuat bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan berhubung kemalangan itu.
Terdahulu, suspek yang berbaju coklat dan berseluar pendek tiba di Kompleks Mahkamah Muar pada pukul 8.50 pagi bagi mendapatkan perintah reman buat kali keempat.
Suspek ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Pada 1 Jun lalu, suspek bersama abangnya dipercayai memandu secara melulu dan merbahaya sehingga menyebabkan kemalangan yang meragut nyawa Semek Mat Soh, 73; Nor Azlina Abd Latip, 33; Aiman Mohd? Rashid, 36; dan Nur Airish Syifa Sidek, 10.
Abang suspek yang berusia 22 tahun juga dilaporkan maut ketika dalam perjalanan ke hospital bagi mendapat rawatan. – UTUSAN










