TAPAH: Keadaan kesihatan Jaslinda Saludin semakin baik selepas dirawat di Hospital Tapah di sini sejak Sabtu lalu namun kaki kirinya terpaksa disimen dipercayai akibat kecederaan pada buku lali.
Perkara itu dimaklumkan oleh suaminya, Haszman Othman, 61, semasa melawat Jaslinda hari ini dan memberitahu keadaan kesihatan isterinya sangat positif.
“Saya baru sahaja melawat isteri di wad. Keadaannya sangat positif, makan pun sudah berselera. Memang itu yang kita minta sebab dia cukup rehat, apatah lagi dia dijaga anak-anaknya.
“Kalau ikut kata doktor, kakinya sudah bersimen mungkin akibat kecederaan pada buku lali sebelah kiri.
“Lain-lain hanyalah calar balar dan kena gigit serangga, itu biasa. Saya bersyukur kerana dia kini sudah boleh makan macam biasa dan kenal semua orang. Sangat sangat gembira
“Sebaik sahaja mendapat tahu kaki isteri sudah disimen, saya belikan tongkat untuk memudahkan dia bergerak,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Katanya, perkembangan terkini keadaan kesihatan isteriya sangat menggembirakan mereka.
“Kita memang hendak cepat sihat dan gembira. Bila dia akan keluar hospital, itu kena tunggu pengesahan doktor,” katanya.
Jaslinda, 49, yang dilaporkan hilang di Gunung Batu Putih di sini sejak 23 Mei lalu ditemukan dalam keadaan selamat Sabtu lalu.
Dia ditemui di Kampung Lubuk Gaharu berhampiran Pos Musoh, dan penemuan itu dimaklumkan oleh komuniti Orang Asli setempat kepada pihak berkuasa. – UTUSAN










