JOHOR BAHRU: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan kenyataan bahawa beliau enggan duduknya semeja dengan pemimpin DAP dibuat atas dasar prinsip dan mandat daripada rakyat.
Menteri Besar Johor itu juga berkata, kenyataan tersebut bukan sebaliknya dibuat kerana perasaan sombong atau perkauman terhadap masyarakat bukan Melayu di negeri ini.
“Ini bukan soal sombong, bukan juga soal perkauman. Tetapi ini soal prinsip, mandat dan tanggungjawab kepada Bangsa Johor.
“Sebagai Pengerusi BN Johor, yang menjaga kebajikan dan berkhidmat untuk setiap kaum, saya wajib menghormati hasrat rakyat akar umbi di setiap peringkat yang mahu kita bergerak sendiri dalam PRN Johor 2026,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah beliau, BN negeri tidak pernah bekerjasama dengan DAP dalam sejarahnya mentadbir Johor, dan perkara itu juga tidak akan berlaku pada masa depan.
“DAP tidak pernah dan tidak akan ada dalam kerajaan Johor BN. Ini hanya boleh jadi kenyataan jika rakyat Johor terus memberi sokongan dan mandat kepada BN Johor yang saya pimpin.
“Suka saya ingatkan kerajaan pusat dan kerajaan negeri Johor ialah dua entiti yang berbeza. Di pusat, BN bekerjasama dengan PH selepas pilihan raya umum atas titah Yang di-Pertuan Agong ke-16 apabila tiada mana-mana gabungan mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan pusat. Keadaan itu tidak sama dengan Johor,” katanya.
Menurut Onn Hafiz, BN telah diberi mandat yang jelas oleh rakyat negeri ini untuk membentuk kerajaan negeri yang stabil.
“Kita telah buktikan prestasi dan kita mempunyai tanggungjawab untuk meneruskan kerja ini tanpa diganggu oleh percaturan politik yang menggugat kestabilan negeri. Di Johor, kita ada cara kita.
“Ini UMNO Johor. Ini BN Johor. Ini Bangsa Johor,” katanya yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor. – UTUSAN










