SANTA CLARA: Qatar membuka kempen Piala Dunia menentang Switzerland esok dengan misi besar untuk memadam memori pahit ketika penampilan sulung mereka sebagai tuan rumah pada 2022.
Skuad kendalian Julen Lopetegui itu masih dihantui kenangan buruk selaku tuan rumah edisi 2022 apabila tewas dalam kesemua tiga perlawanan kumpulan dan hanya menjaringkan satu gol.
Bagaimanapun, Qatar kali ini hadir dengan keyakinan lebih tinggi selepas muncul juara Asia dua kali berturut-turut serta mempamerkan prestasi lebih meyakinkan sepanjang kempen kelayakan.
Lopetegui mengakui Switzerland memiliki kelebihan dari segi pengalaman dan kualiti, namun menegaskan pasukannya tidak akan turun dengan mentaliti menyerah kalah.
“Kami perlu menerima hakikat bahawa kami akan menentang Switzerland terlebih dahulu dan kami perlu bersedia untuk memberikan yang terbaik menentang pasukan yang amat kuat.
“Kami sedar realiti sebenar kami. Lawan mungkin lebih baik berbanding kami, tetapi itu tidak bermakna kami menyerah. Kami mahu menjadi pencabar yang kuat,” katanya.
Qatar yang banyak bergantung kepada pemain liga domestik memiliki kelebihan dari segi keserasian, namun dijangka berdepan cabaran besar dalam kumpulan yang turut dihuni Bosnia-Herzegovina dan tuan rumah, Kanada.
Harapan mereka untuk mencipta kejutan banyak bergantung kepada sentuhan dua tonggak utama, Almoez Ali dan Akram Afif yang dijangka menjadi ancaman di jentera serangan.
Sementara itu, Switzerland turun dengan reputasi sebagai antara pasukan paling konsisten di Eropah apabila tidak tewas dalam aksi kompetitif sejak penghujung 2024.
Pasukan kendalian Murat Yakin itu juga hanya melepaskan dua gol sepanjang kempen kelayakan, sekali gus membuktikan kekuatan benteng pertahanan mereka.
Switzerland masih mempertaruhkan pemain berpengalaman seperti Granit Xhaka, Manuel Akanji dan Ricardo Rodriguez, selain memiliki pilihan baharu di bahagian serangan menerusi Dan Ndoye dan Johan Manzambi. – AGENSI.










