NEW YORK: Qatar yang menjadi pengantara damai antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran akan mengemukakan beberapa cadangan baharu kepada Washington mengenai pembukaan Selat Hormuz.
Pendedahan itu dibuat oleh Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi setelah AS menolak tuntutan Iran jika mahu Selat Hormuz dibuka kepada semua kapal dagang yang ditutup ketika perang Asia Barat bermula pada 28 Februari lalu.
Bercakap kepada wartawan Iran di New York, Araghchi berkata, beliau sekali lagi bertemu pengantara Qatar bagi membincangkan langkah yang boleh diambil untuk memenuhi syarat ditetapkan Teheran.
“Mereka mempunyai beberapa idea dan kami membincangkan cara untuk memenuhi syarat (ditetapkan) Iran dan bagaimana syarat itu boleh dilaksanakan,” katanya menurut agensi berita rasmi IRNA.
Araghchi berkata, cadangan berkenaan akan dikemukakan kepada pihak AS sebelum maklum balas akhir Washington disampaikan kepada Teheran.
Menurutnya, beliau akan berlepas dari New York ke Teheran, manakala pengantara Qatar akan menyampaikan maklum balas AS kepada Iran sebaik sahaja diterima.
Beliau berkata, saluran komunikasi melalui pengantara Qatar dan Pakistan masih terbuka, tetapi menjadi lebih serius selepas Iran mengemukakan cadangan terbaharunya.
Araghchi berkata, Teheran turut menggunakan pertemuannya di New York untuk menyampaikan kepada Washington dan masyarakat antarabangsa syarat yang ditetapkan Iran bagi membolehkan Selat Hormuz dibuka semula.
Sementara itu, pegawai AS dan Iran dilaporkan mengadakan rundingan tidak langsung secara berasingan dengan pengantara pada Isnin dalam usaha menghidupkan semula rundingan bagi menamatkan konflik yang sudah berlarutan selama tujuh bulan.
Cadangan Iran yang pertama kali dikemukakan di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) minggu lalu menetapkan tempoh empat hingga lima hari bagi AS membebaskan dana Iran yang dibekukan.
Teheran juga mahu sekatan terhadap eksport minyak ditarik balik oleh AS dan menamatkan sekatan laut terhadap pelabuhan Iran.
Iran turut mencadangkan rundingan nuklear dimulakan dalam tempoh tujuh hari dan mengaitkan pembukaan semula Selat Hormuz dengan pelaksanaan langkah berkenaan.
Bagaimanapun, Presiden AS, Donald Trump pada Ahad menolak cadangan itu dengan menganggapnya sebagai ‘tidak boleh diterima’, sambil berkata, Iran mahukan perjanjian segera susulan tekanan ekonomi yang dihadapinya.
Dalam perkembangan berkaitan, data syarikat penyedia data dan analisis pasaran komoditi global, Kpler menunjukkan eksport minyak mentah Asia Barat meningkat semula bulan ini kepada hampir 80 peratus daripada paras sebelum konflik tetapi keadaan di Selat Hormuz masih belum kembali normal.
Data penjejakan masa nyata firma itu menunjukkan jumlah minyak yang melalui selat berkenaan pada Sabtu hanya 10.591 juta tong sehari, berbanding paras sebelum perang sebanyak 17.133 juta tong sehari.











