LOS ANGELES: Kemunculan Iran pada aksi pembukaan Kumpulan G Piala Dunia 2026 menentang New Zealand dicemari protes ratusan rakyat Iran yang berhimpun di luar Stadium SoFi bagi menyuarakan bantahan terhadap kerajaan negara itu.
Penunjuk perasaan membawa bendera Iran sebelum Revolusi Islam 1979 sambil melaungkan slogan anti-kerajaan dan menuduh skuad kebangsaan dijadikan alat propaganda oleh pemerintah di Tehran.
“Pasukan ini bukan pasukan rakyat Iran, tetapi pasukan milik rejim.
“Apabila rakyat dibunuh, mereka memilih untuk berdiam diri dan tidak berkata apa-apa,” kata seorang penunjuk perasaan, Ava Amin.
Los Angeles yang sering digelar ‘Tehrangeles’ kerana mempunyai komuniti Iran terbesar di luar negara menjadi lokasi utama perhimpunan tersebut dengan sebahagian peserta mahu menggunakan pentas Piala Dunia untuk menarik perhatian dunia terhadap situasi di tanah air mereka.
Sebahagian penunjuk perasaan turut membawa gambar individu yang terkorban dalam tindakan keras pihak berkuasa ketika demonstrasi anti-kerajaan yang tercetus awal tahun ini.
“Kami kehilangan begitu ramai rakyat pada Januari lalu dan apabila mereka menuntut kebebasan, mereka dibunuh.
“Kami berada di sini untuk menjadi suara mereka dan mengibarkan bendera kami,” katanya.
Bagaimanapun, terdapat juga penyokong Iran yang hadir ke stadium menggesa politik tidak dicampur adukkan dengan bola sepak sambil menegaskan pemain negara itu berhak menerima sokongan selepas bekerja keras untuk layak ke Piala Dunia.
Kontroversi itu menambah lagi tekanan terhadap Iran yang sebelum ini berdepan pelbagai kesukaran menjelang kejohanan termasuk isu visa, pertukaran kem latihan dari Arizona ke Mexico serta ketegangan diplomatik antara Tehran dan Washington. – AGENSI










