Protes bertukar ganas cemari aksi pembukaan Piala Dunia 2026

Protes bertukar ganas cemari aksi pembukaan Piala Dunia 2026

PENUNJUK Perasaan bertempur dengan polis di luar stadium di Mexico City pada hari pembukaan Piala Dunia FIFA 2026.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MEXICO CITY: Kemeriahan aksi pembukaan Piala Dunia 2026 di Stadium Azteca dicemari insiden kekecohan apabila ribuan penunjuk perasaan bertempur dengan pasukan keselamatan di luar stadium ketika Mexico menentang Afrika Selatan, awal pagi tadi.

Ketika lebih 80,000 penyokong memenuhi stadium ikonik itu untuk menyaksikan sepak mula kejohanan terbesar dunia, suasana di luar venue bertukar tegang apabila beberapa kumpulan penunjuk perasaan cuba menembusi kawalan keselamatan yang dipertingkatkan pihak berkuasa Mexico.

Menurut laporan, kumpulan yang terdiri daripada guru, ahli keluarga individu yang dilaporkan hilang serta aktivis pelajar mula berkumpul di sekitar Stadium Azteca sejak awal pagi bagi menyuarakan pelbagai tuntutan terhadap kerajaan.

Keadaan bagaimanapun menjadi tidak terkawal apabila sebahagian daripada mereka berjaya melepasi sekatan keselamatan dan bertembung dengan anggota polis yang mengawal kawasan tersebut.

Insiden semakin memuncak sejurus selepas Mexico menjaringkan gol pertama Piala Dunia 2026 menerusi Julian Quinones apabila berlaku pergelutan fizikal antara penunjuk perasaan dan anggota keselamatan.

Beberapa individu muda turut dilaporkan bertindak agresif dengan memecahkan cermin kenderaan menggunakan kayu pemukul, sekali gus memaksa polis mengambil tindakan lebih tegas bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk.

Pasukan keselamatan kemudian melepaskan gas pemedih mata dan mengerahkan unit berkuda untuk menyuraikan kumpulan terbabit sebelum mereka melarikan diri dari lokasi kejadian.

Kekecohan itu mencetuskan kebimbangan terhadap aspek keselamatan penganjuran Piala Dunia yang berlangsung di Mexico, Amerika Syarikat dan Kanada, khususnya melibatkan perlawanan berprofil tinggi yang dijangka menarik kehadiran puluhan ribu penyokong.

Bantahan tersebut sebenarnya bukan isu baharu apabila kerajaan Mexico berdepan tekanan berterusan sejak beberapa minggu lalu, terutama daripada kumpulan guru yang menuntut pembaharuan berkaitan kebajikan dan keadaan pekerjaan.

Pada satu ketika, penganjur turut bimbang protes berkenaan boleh menjejaskan operasi zon peminat rasmi Piala Dunia yang berlangsung di Dataran Zocalo, lokasi tumpuan utama penyokong di ibu negara Mexico.

Namun, kebimbangan itu tidak menghalang ribuan penyokong daripada membanjiri kawasan berkenaan untuk meraikan pembukaan kejohanan.

Malah, suasana turut menjadi kecoh apabila orang ramai dilihat berhimpit-himpit dan menolak antara satu sama lain bagi melepasi penghadang besi untuk mendapatkan tempat terbaik menyaksikan siaran langsung perlawanan pembukaan.

Walaupun insiden di luar stadium berjaya dikawal pihak berkuasa, kekecohan yang berlaku sedikit sebanyak mencalar kemeriahan hari pertama Piala Dunia 2026 yang sepatutnya menjadi simbol perpaduan dan pesta bola sepak dunia.

Pihak berkuasa Mexico dijangka meningkatkan lagi kawalan keselamatan menjelang perlawanan-perlawanan seterusnya bagi memastikan insiden sama tidak berulang sepanjang kejohanan berlangsung.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN