PRN Johor: Senarai calon BN tular palsu - Utusan Malaysia

PRN Johor: Senarai calon BN tular palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) Johor menafikan senarai nama tular yang dikatakan sebagai calon-calon gabungan berkenaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Pengerusinya, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, senarai nama tersebut adalah palsu, tidak benar serta sengaja direka pihak yang tidak bertanggungjawab.

Katanya, sebarang pengumuman rasmi berkaitan calon yang akan bertanding mewakili gabungan itu hanya akan dikeluarkan menerusi saluran komunikasi rasmi BN.

“Dalam bahang pilihan raya ini, sudah pasti akan ada pelbagai bentuk fitnah, khabar angin, provokasi dan berita palsu yang cuba dimainkan oleh pihak-pihak tertentu bagi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.

“Sehubungan itu, orang ramai perlu sentiasa memeriksa dan meneliti terlebih dahulu setiap perkhabaran yang dibawa mana-mana pihak sebelum mempercayainya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, langkah berhati-hati dalam menerima maklumat penting untuk mengelak berlakunya perkara yang tidak diingini.

“Justeru, saya menyeru seluruh Bangsa Johor agar mengamalkan sikap tabayyun, menyemak fakta terlebih dahulu dan mendapatkan maklumat daripada sumber rasmi sebelum menerima atau menyebarkan sesuatu berita.

“Marilah kita berpolitik secara matang, berakhlak dan bertanggungjawab. Jangan benarkan berita palsu memudaratkan keharmonian, kestabilan serta proses demokrasi di negeri Johor yang kita cintai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN