BATU PAHAT: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi mengesahkan beliau tidak akan mempertahankan kerusi DUN Rengit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Mohd. Puad berkata, keputusan itu dibuat pihaknya sejak setahun lalu dimana hasrat itu telah dimaklumkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Katanya, antara faktor utama beliau membuat keputusan itu adalah disebabkan usia yang telah memasuki 69 tahun.
“Lima tahun lagi saya akan berumur 74 tahun. Pada saya tidak sesuai pada usia tersebut untuk terus bertanding di kerusi DUN. Onn Hafiz wajar diberi peluang memimpin barisan muda bertanding dan memimpin kerajaan negeri.
“Sepatutnya individu yang berusia 50 tahun ke bawah sahaja yang wajar bertanding di kerusi DUN,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah Mohd. Puad, pihaknya telah mengemukakan calon pelapis bagi kerusi DUN Rengit untuk dipertimbangkan pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN).
“Calon yang bakal dipilih perlu mempunyai kelayakan, berakhlak, komited terhadap perjuangan serta memahami hala tuju bangsa dan aspirasi rakyat.
“Selama lebih empat tahun saya menjadi wakil rakyat yang tinggal di kawasan. Saya telah mengenali hati nurani rakyat di kawasan DUN Rengit,” katanya.
Pada masa sama, beliau turut menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang memperkenankan pelantikannya sebagai Speaker DUN Johor, serta nasihat dan bimbingan diterima daripada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.-UTUSAN










