OEIRAS, Portugal: Portugal meneruskan persiapan menjelang Piala Dunia dengan langkah kanan apabila menewaskan Chile 2-1 dalam aksi persahabatan yang dicemari insiden kad merah di Stadium Nacional, awal pagi tadi.
Pertembungan itu bukan sekadar ujian pemanas badan apabila kedua-dua pasukan terpaksa menamatkan perlawanan dengan 10 pemain selepas tercetus ketegangan menjelang tamat babak pertama.
Portugal yang mempertaruhkan kapten berpengaruh, Cristiano Ronaldo hampir menggembirakan penyokong tuan rumah sebelum rehat, namun jaringan yang dihasilkannya dibatalkan selepas pengadil mengesan kedudukan ofsaid.
Ketika perlawanan dilihat menuju ke bilik persalinan tanpa jaringan, suasana bertukar tegang apabila Rafael Leao dan Ivan Roman diperintah keluar padang selepas terlibat dalam insiden pergaduhan yang membabitkan beberapa pemain kedua-dua pasukan.
Bersambung babak kedua, Portugal tidak menunggu lama untuk memecah kebuntuan apabila Goncalo Guedes meledak gol pembukaan pada minit ke-58 hasil gerakan kemas jentera serangan tuan rumah.
Dominasi Portugal terus diterjemahkan menerusi gol kedua pada minit ke-72 apabila Bruno Fernandes melepaskan rembatan jarak jauh yang gagal diselamatkan penjaga gol Chile.
Chile cuba bangkit pada penghujung perlawanan dan berjaya merapatkan jurang menerusi Lucas Cepeda dalam masa kecederaan, namun gol itu hadir terlalu lewat untuk mengubah nasib pasukan Amerika Selatan tersebut.
Kemenangan itu memberi tonik terbaik buat skuad kendalian Roberto Martinez yang akan menentang Nigeria dalam satu lagi aksi persahabatan di Leiria pada 10 Jun sebelum memulakan kempen Kumpulan K Piala Dunia menentang Republik Demokratik Congo, Uzbekistan dan Colombia.-AGENSI










