Polis Johor terima tujuh laporan, tiga kertas siasatan dibuka - Utusan Malaysia

Polis Johor terima tujuh laporan, tiga kertas siasatan dibuka

AB. RAHAMAN ARSAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis Johor telah menerima tujuh laporan polis berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 sejak tempoh berkempen bermula selepas Hari Penamaan Calon, Sabtu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab. Rahaman Arsad berkata, daripada jumlah tersebut, tiga kertas siasatan telah dibuka.

“Satu kertas siasatan dibuat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api atau bahan letupan dan satu kertas siasatan dibawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana kesalahan khianat.

“Manakala satu lagi kertas siasatan dibuka bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 / Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas kesalahan melakukan atau cuba melakukan yang mempunyai kecenderungan menghasut serta penggunaan tidak wajar melibatkan kemudahan atau perkhidmatan rangkaian,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Sementara itu, Ab. Rahaman turut memberitahu, setakat 11.59 malam semalam, pihaknya telah meluluskan 414 permit kempen daripada keseluruhan 420 permohonan yang diterima.

“Dalam tempoh sejak penamaan calon, sebanyak 191 aktiviti politik telah berlangsung dan dipantau petugas polis bagi memastikan ia mematuhi peruntukan undang-undang dan syarat ditetapkan,” katanya.

Pada masa sama, beliau turut memberitahu pemantauan pijak mendapati tiada sebarang insiden yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dilaporkan berlaku di seluruh Johor.

“Semua aktiviti politik dan kempen berlangsung dalam keadaan aman dan teratur.

“Polis turut menyeru parti politik, calon-calon dan penyokong mereka agar terus kekalkan amalan berpolitik matang dengan tidak melakukan sebarang provokasi dan tidak menyebarkan maklumat tidak sah,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN