BATU PAHAT: Hasrat pasangan suami isteri untuk menuju ke Cameron Highlands bertukar tragedi setelah wanita itu maut terlibat kemalangan membabitkan sebuah lori di kilometer 118, Lebuhraya Utara Selatan (Arah Utara), di sini pagi semalam.
Dalam kejadian pukul 7.30 pagi itu, mangsa, Maizura Kokiman, 41, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan kaki sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, kejadian berlaku ketika pasangan suami isteri itu dalam perjalanan dari Pasir Gudang menuju ke Cameron Highlands dengan menaiki motosikal.
“Kejadian dipercayai berlaku setelah motosikal dinaiki mangsa hilang kawalan dan melanggar kon keselamatan dan merempat dengan sebuah lori yang sedang berhenti di laluan kecemasan.
“Akibat perlanggaran tersebut, pembonceng wanita mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan kaki sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pegawai Perubatan, Klinik Kesihatan Ayer Hitam, di sini,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Shahrulanuar Mushaddat berkata, suami mangsa iaitu penunggang motosikal berusia 44 tahun pula mengalami kecederaan parah di kepala, tangan dan kaki sedang dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar.
“Difahamkan pemandu lori tersebut menghentikan lori berkenaan di laluan kecemasan setelah mengalami masalah kerosakan. Pemandu lori iaitu seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu kesalahan menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan,” katanya.










