Persaraan bukan sekadar soal simpanan, aset PRS kini RM10.9 bilion

Persaraan bukan sekadar soal simpanan, aset PRS kini RM10.9 bilion

Dr. Tengku Aizan (tengah) dan Taufiq (kanan) ketika merasmikan Hari PRS 2026 di sebuah pusat beli-belah di ibu kota.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sambutan Hari Skim Persaraan Swasta (PRS) edisi sulung membuktikan kesedaran rakyat mengenai kepentingan merancang persaraan terus meningkat apabila jumlah aset di bawah pengurusan skim itu kini mencecah paras tertinggi RM10.9 bilion.

Pencapaian tersebut diumumkan sempena Hari PRS 2026 yang berlangsung selama dua hari pada 11 dan 12 Julai di sebuah pusat beli-belah di ibu kota, dengan program itu turut menyaksikan pertambahan ahli baharu serta sambutan menggalakkan daripada orang ramai.

Pengerusi Pentadbir Pencen Swasta (PPA), Datuk Dr. Tengku Aizan Tengku Abdul Hamid berkata, aset PRS meningkat sebanyak RM2.1 bilion sejak awal tahun termasuk RM379 juta daripada caruman ahli, manakala jumlah keahlian kini melepasi 690,000 orang selepas hampir 19,000 penyertaan baharu direkodkan sepanjang tahun ini.

Beliau berkata, perkembangan itu menggambarkan semakin ramai rakyat Malaysia mula menyedari kepentingan membina simpanan persaraan lebih awal bagi menjamin kehidupan yang lebih selesa pada masa depan.

“Pencapaian aset PRS yang kini mencecah RM10.9 bilion membuktikan semakin ramai rakyat Malaysia memahami kepentingan membina simpanan persaraan sejak awal. Setiap caruman yang dibuat hari ini adalah pelaburan untuk kehidupan yang lebih terjamin pada masa hadapan,” katanya.

Menurut beliau, perancangan persaraan tidak seharusnya hanya tertumpu kepada aspek kewangan, sebaliknya perlu diseimbangkan dengan penjagaan kesihatan fizikal, kesejahteraan mental, hubungan sosial serta ilmu dalam membuat keputusan kewangan.

“Persaraan bukan sekadar memastikan kita mempunyai wang yang mencukupi, tetapi turut melibatkan aspek kesihatan, kesejahteraan mental dan sosial.

“Apabila semua elemen ini dipersiapkan lebih awal, seseorang dapat menikmati kehidupan persaraan dengan lebih yakin dan bermakna,” katanya.

Selaras dengan pendekatan tersebut, Hari PRS 2026 menghimpunkan pelbagai pengisian termasuk khidmat nasihat kewangan, pemeriksaan kesihatan percuma, bengkel literasi kewangan, sesi Zumba dan Pilates, aktiviti kekeluargaan serta pelbagai program berkaitan kesejahteraan yang ditawarkan secara percuma.

Dr. Tengku Aizan (duduk, tengah) bersama Ahli- Ahli Lembaga Pengarah dan tetamu kehormat.

Pada majlis sama, PPA turut memperkenalkan Portal Ahli PRS yang dipertingkatkan bersama Kalkulator Perancangan Persaraan PRS versi baharu bagi memudahkan ahli mengurus simpanan, merancang pendapatan persaraan dan menilai profil risiko masing-masing.

“Melalui penambahbaikan portal ahli dan kalkulator perancangan persaraan, kami mahu memudahkan ahli mengurus simpanan mereka secara lebih cekap serta membuat keputusan kewangan yang lebih tepat sepanjang perjalanan menuju persaraan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PPA, Taufiq Iskandar berkata, kejayaan penganjuran Hari PRS 2026 menjadi pemangkin kepada usaha memperluaskan lagi kesedaran masyarakat mengenai kepentingan simpanan persaraan.

“Sambutan terhadap Hari PRS 2026 memberi keyakinan bahawa kesedaran mengenai kepentingan perancangan persaraan semakin meningkat. Kami mahu momentum ini diteruskan agar budaya menyimpan untuk persaraan menjadi amalan dalam kalangan lebih ramai rakyat Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN