Polis sahkan dua rakyat Malaysia ditahan di Hong Kong jadi keldai dadah

Polis sahkan dua rakyat Malaysia ditahan di Hong Kong jadi keldai dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis mengesahkan dua rakyat Malaysia ditahan pihak berkuasa Hong Kong dalam tempoh tiga hari selepas disyaki cuba menyeludup kokain dan bunga ganja menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya telah menerima maklumat berhubung penahanan kedua-dua suspek daripada pihak berkuasa Hong Kong.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah di Malaysia dan dipercayai direkrut sindiket sebagai keldai dadah.

“Suspek tidak mempunyai rekod kesalahan di Malaysia dan dipercayai direkrut sindiket sebagai keldai dadah,” katanya ketika dihubungi.

Dalam kes pertama pada 7 Julai lalu, Kastam Hong Kong menahan seorang lelaki warga Malaysia berusia 21 tahun selepas kira-kira satu kilogram bahan disyaki kokain ditemukan disorokkan di dalam kasut yang dipakainya.

Lelaki itu dilaporkan tiba di Hong Kong dengan penerbangan dari Kuala Lumpur sebelum diperiksa ketika melalui proses pelepasan kastam.

Pemeriksaan lanjut menemukan dadah yang dianggarkan bernilai HK$800,000 (kira-kira RM416,000) sebelum suspek ditahan dan didakwa atas pertuduhan mengedar dadah berbahaya. Kesnya disebut di Mahkamah Majistret Kowloon Barat pada 8 Julai lalu.

Dua hari kemudian, seorang lagi lelaki Malaysia berusia 19 tahun berasal dari Sarawak ditahan selepas tiga kilogram bunga ganja disyaki bernilai HK$500,000 (kira-kira RM260,000) ditemukan di dalam bagasi berdaftarnya.

Remaja itu tiba di Hong Kong dari Kuala Lumpur menerusi Singapura sebelum ditahan untuk siasatan.

Kastam Hong Kong memaklumkan pihaknya akan terus memperketat penguatkuasaan menerusi analisis risikan dan penilaian risiko terhadap penumpang dari lokasi berisiko tinggi bagi membanteras penyeludupan dadah rentas sempadan.

Orang ramai diingatkan supaya tidak menerima tawaran membawa barangan bagi pihak individu lain kerana kesalahan mengedar dadah di Hong Kong boleh dihukum denda sehingga HK$5 juta (kira-kira RM2.6 juta) dan penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN