RM10.4 juta bina perangkap aliran puing di Gua Musang

RM10.4 juta bina perangkap aliran puing di Gua Musang

ALEXANDER Nanta Linggi (kiri) meninjau projek pembinaan Sabo Dam di Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Laluan FT185, Jalan Simpang Pulai–Gua Musang kini lebih selamat selepas Kementerian Kerja Raya (KKR) menyiapkan perangkap aliran puing atau Sabo Dam dan sistem saliran bernilai RM10.4 juta.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, projek itu dilaksanakan sebagai penyelesaian jangka panjang susulan kejadian aliran puing pada 3 Januari 2021 yang menyebabkan kerosakan teruk sepanjang kira-kira dua kilometer jalan berkenaan sehingga terpaksa ditutup selama beberapa hari.

Katanya, walaupun kerja pembaikan awal struktur jalan dan jambatan bernilai kira-kira RM6 juta telah dilaksanakan oleh syarikat konsesi, kerajaan mengambil langkah lebih menyeluruh melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi mengurangkan risiko kejadian sama berulang.

“Projek itu melibatkan kerja pembaikan cerun, pembinaan sistem saliran, kerja turapan, pengalihan utiliti, pembinaan Sabo Dam dan Debris Flow Barrier sebagai komponen utama mitigasi aliran puing.

“Sabo Dam berfungsi mengawal aliran air, memerangkap puing dan sedimen selain mengurangkan risiko limpahan yang boleh mengancam keselamatan jalan raya,” katanya selepas Majlis Penyerahan Projek Pembaikan Cerun di Laluan FT185 Seksyen 61.00, Jalan Lojing-Gua Musang, di Tanah Tinggi Lojing, di sini hari ini.

Alexander memberitahu, pembinaan struktur itu menjadikan FT185 sebagai lokasi keempat Sabo Dam dibangunkan oleh JKR di Semenanjung Malaysia selepas Raub, Pahang, Seremban, Negeri Sembilan dan Baling, Kedah.

Katanya, projek berkenaan turut melibatkan pengambilan balik tanah seluas 1.7 ekar bagi membolehkan keseluruhan sistem mitigasi dibina secara lebih berkesan.

“Laluan FT185 bukan sekadar jalan penghubung antara Perak dan Kelantan, malah menjadi nadi kepada pergerakan masyarakat, rantaian logistik, aktiviti ekonomi serta sektor pelancongan.

“Setiap peruntukan yang dibelanjakan bagi projek seperti ini merupakan pelaburan jangka panjang demi keselamatan rakyat, kelancaran mobiliti serta kestabilan ekonomi setempat,” ujarnya.

Beliau berkata, penyenggaraan berkala terhadap struktur Sabo Dam perlu diberikan perhatian melalui peruntukan tahunan bagi memastikan aset perlindungan itu sentiasa berada pada tahap optimum.

Tambahnya, projek itu dilaksanakan oleh Pintas Utama Sdn. Bhd. melalui kaedah Arahan Kerja bermula pada 18 Jun 2025 dan siap sepenuhnya pada 14 Julai lalu selepas tempoh pelaksanaan selama 13 bulan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN