Saya tidak akan ambil tawaran berlakon dengan harga yang rendah - Rosnah Johari - Utusan Malaysia

Saya tidak akan ambil tawaran berlakon dengan harga yang rendah – Rosnah Johari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Rosnah Johari menegaskan bahawa dia sama sekali tidak akan menerima tawaran berlakon sekiranya bayaran yang ditawarkan produksi terlalu rendah.

Rosnah, 63, berkata, dia berpegang pada pendirian sebegitu kerana tidak mahu merosakkan harga pasaran pelakon, meskipun memahami ada rakan seindustri yang terpaksa menerima tawaran sedemikian kerana kekurangan peluang pekerjaan.

“Saya tidak akan ambil. Kalau saya ambil tawaran itu, nanti rakan pelakon lain mungkin akan marah. Tetapi, ada juga pelakon yang terpaksa menerima tawaran itu kerana sudah lama tidak mendapat tawaran berlakon.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kalau kita berada dalam situasi mereka, daripada tidak mendapat tawaran langsung, lebih baik menerima tawaran yang ada. Kita perlu memahami keadaan mereka kerana masing-masing perlu mencari rezeki,” katanya.

Rosnah berkata demikian ketika ditemu semasa sidang media tayangan filem pendek Diam yang Bergema, di GSC, Mid Valley, Kuala Lumpur, pada Rabu.

Menurut pemenang bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik (Drama) Anugerah Seri Angkasa 1989 itu, dia berharap pelakon yang sudah lama berkecimpung dalam industri seni mendapat bayaran lebih baik dan tidak disamakan dengan pelakon baharu yang sedang meningkat naik.

“Perkara itu tidak berlaku kepada saya setakat ini. Saya berharap pelakon yang sudah lama dalam industri mendapat bayaran lebih baik, bukannya disamakan dengan pelakon yang baru hendak meningkat naik,” katanya.

Dalam pada itu, Rosnah berkata, dia lebih selesa bekerja dengan produksi yang sudah biasa bekerjasama dengannya kerana kedua-dua pihak memahami kadar bayaran masing-masing.

Katanya, hubungan kerja yang sudah terjalin memudahkan urusan apabila menerima tawaran penggambaran tanpa perlu berunding semula mengenai bayaran.

“Apabila kita sudah biasa bekerja dengan sesebuah produksi, mereka sudah mengetahui kadar bayaran kita dan kita juga memahami cara mereka bekerja. Jadi, apabila mendapat tawaran penggambaran, tidak perlu lagi berunding mengenai harga,” katanya.

Mengenai Diam Yang Bergema, filem pendek ini merupakan sebuah naskhah menyentuh jiwa arahan seniwati tersohor, Fauziah Dato’ Haji Ahmad Daud, hasil olahan skrip oleh Slen Fadzil daripada tulisan asal AB Wahid Nasir.

Filem pendek ini mengisahkan tentang pengorbanan seorang ibu tunggal bernama Yam dalam mengharungi liku-liku kehidupan berlatarbelakangkan elemen bahasa isyarat demi menyara dan membahagiakan anak istemewanya, Sufi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini