Penyu pengintip digunakan pantau perairan China

Penyu pengintip digunakan pantau perairan China

CHINA dakwa penyu dan ikan pengintip yang ditemukan dipasang peranti sensor untuk memantau perairan negara.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BEIJING: Kementerian Keselamatan Negara China mendakwa agensi pengintipan dan perisikan asing menggunakan kaedah baharu bagi memantau perairan negara itu, termasuk menggunakan haiwan ‘perisik’ yang dilengkapi peranti sensor.

Dalam hantaran di platform WeChat kelmarin, kementerian itu memberi amaran ‘perang rahsia yang tidak kelihatan’ sedang berlaku di perairan sekitar China, dengan pihak asing didakwa mengumpul data sensitif melalui pelbagai peranti pengintipan baharu untuk menghasilkan peta bawah air yang boleh mengancam keselamatan negara.

Antara kaedah yang didakwa digunakan adalah haiwan laut seperti ‘penyu dan ikan pengintip’, yang ditemukan dipasang dengan sensor ketika berada di perairan China.

Menurut kementerian itu, haiwan tersebut mengumpul data persekitaran laut seperti suhu air, kemasinan dan arus laut dalam masa nyata sebelum menghantarnya ke luar negara melalui satelit.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak menyatakan lokasi haiwan berkenaan ditemukan atau pihak yang didakwa memasang alat tersebut.

Kementerian berkata, pihaknya turut menemukan pelampung oleh sebuah institut penyelidikan marin luar negara yang dilengkapi sensor meteorologi, membolehkan ia menjejaki akustik kapal selam China.

Tuduhan penggunaan haiwan marin untuk tujuan pengintipan bukanlah sesuatu yang baharu.

Pada 2023, Agensi Perisikan Britain berkata, Russia meningkatkan kawalan keselamatan di pangkalan armada Laut Hitam di Sevastopol, pelabuhan di semenanjung Crimea yang diduduki Ukraine, dengan mengerahkan ikan lumba-lumba terlatih.

China sering membuat dakwaan mengenai aktiviti pengintipan di perairan berhampiran, termasuk Laut China Selatan, Laut China Timur serta Selat Taiwan, yang merupakan kawasan paling sensitif dan dipertikaikan dari segi ketenteraan.

Pada 2024, China mengenal pasti ‘rumah api’ yang disembunyikan di dasar laut, didakwa boleh membantu laluan kapal selam asing serta membentuk medan awal untuk pertempuran.- AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN